suria

Intan Najuwa akhirnya bersuara selepas tiga tahun, mahkamah arah Rizman Ruzaini bayar hutang RM1.3 juta sebelum 15 Januari ini

Intan dedah Rizman Ruzaini perlu jelaskan RM1.3 juta terhadap suaminya.

SELEPAS hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri, pelakon Datin Intan Najuwa tampil memberi kenyataan berhubung kes saman sivil yang difailkan oleh suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman terhadap pereka fesyen, Rizman Nordin dan Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil mewakili syarikat mereka, Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn Bhd.

Dalam dokumen mahkamah bertarikh 16 Disember lalu, pihak mahkamah menetapkan jumlah pembayaran RM1.3 juta yang perlu diselesaikan oleh defendan sebelum 15 Januari 2026.

Menurut Intan, 29, keputusan mahkamah telah memihak kepada mereka dan pihak defendan kini diminta melaksanakan pembayaran semula pinjaman tersebut pada tarikh yang ditetapkan.

Perkongsian Intan di Instagram miliknya pada petang Isnin.

“Setelah hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri, suami dan saya kini tampil secara terbuka berdasarkan keputusan mahkamah yang telah diputuskan,” katanya.

Intan berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada petang Isnin.

Tambah Intan, kenyataan itu dibuat khusus kepada pihak Rizman Ruzaini tanpa melibatkan mana-mana pihak atau pereka fesyen lain sebagai seruan supaya arahan mahkamah dipatuhi dengan segera.

“Kenyataan ini dibuat secara berfakta dan berhemah, selaras dengan keputusan undang-undang yang sah, selepas kami memilih untuk menunggu dan menghormati proses perundangan sepenuhnya,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rizman Ruzaini enggan komen isu hutang, lumrah terpalit kontroversi lepas 20 tahun bertapak

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh pereka terkenal hutang jutaan ringgit dengan Intan Najuwa, Rizman Ruzaini terkejut nama kena petik

Sebelum ini, pereka fesyen Rizman Ruzaini enggan memberi sebarang komen apabila dikaitkan sebagai pihak yang berhutang dengan pelakon itu. 

Salah seorang pengasas jenama tersebut, Rizman menganggap perkara itu biasa apabila nama mereka menjadi sebutan dalam isu berkaitan.

Menurut Intan, individu berkenaan pada awalnya merayu bantuan kewangan dengan pelbagai janji, namun mula mengelak apabila tiba masa untuk melunaskan hutang. 

Susulan kenyataan itu, nama jenama fesyen Rizman Ruzaini mula dikaitkan oleh netizen sebagai pihak yang dimaksudkan oleh Intan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain