suria

'Roh Kembali…' Bongkar Mengenai Qarin

Foto oleh SHAARI CHE MAT
Foto oleh SHAARI CHE MAT
Foto oleh SHAARI CHE MAT

PERDEBATAN tentang kewujudan roh sering terjadi dalam kehidupan harian kita. Ada yang mempercayainya dan tidak kurang juga yang mengatakan perkara itu hanya karut semata-mata.

Penjelmaan semula roh bukan sahaja dipopularkan oleh filem-filem Asia dan Hollywood seperti Ghost lakonan Patrick Swayze dan Demi Moore, bahkan meresap jauh ke dalam sanubari sebahagian masyarakat Melayu beragama Islam.

Biarpun begitu, mungkin ada yang tidak mengetahui tentang perbezaan qarin dan roh. Qarin ialah roh-roh jahat daripada kalangan makhluk halus yang selalunya menemani manusia sejak dari kelahiran seseorang bayi sehinggalah dia meninggal dunia.

Mulai 20 Mei ini, setiap Khamis, pukul 9.30 malam, slot Seram di TV3 bakal menyiarkan drama 13 episod Roh Kembali… yang akan membongkar tentang qarin.

Roh Kembali… merupakan naskhah pertama JS Pictures milik pasangan suami isteri Azman Yahya (Jinggo) dan Sheila Rusly yang membariskan pelakon handalan seperti Fizz Fairuz, Rozie Rashid, Zamarul Hisham, Sheila Rusly, Lisdawati, dan Razak Ahmad.

Jinggo menegaskan, drama itu tidak menunjukkan tentang keseluruhan rupa hantu sebaliknya hanya ditekankan pada mata atau jari makhluk itu. Apa yang lebih penting, drama itu akan membongkar tentang qarin secara lebih mendalam.

Walaupun berkecimpung kira-kira 29 tahun dalam industri seni, Jinggo akui drama itu merupakan drama yang paling mencabar berbanding drama-drama arahannya sebelum ini.

“Bukan senang untuk saya membongkar tentang perkara yang orang Islam patut tahu melibatkan hantu dan syaitan.

“Penulis skrip Maizura Mohd Ederis banyak merujuk al-Quran dan sunnah kerana kita mahu drama ini bukan sahaja memberikan info tetapi juga menghiburkan.

“Tentang hantu, biarlah ia ditonjolkan sedikit sahaja seperti orang kata less is more,” ujarnya.

Roh Kembali… mengisahkan tentang Zaidi (Fizz), seorang pemuda yang baik dan amat menyayangi isteri dan anak lelakinya. Namun, Zaidi sebenarnya terlibat dalam sindiket jenayah terancang tanpa diketahui oleh keluarga dan rakan baiknya.

Walaupun Zaidi hidup dalam kemewahan, dia sering dihantui oleh roh orang mati. Semenjak itu, kehidupan Zaidi tidak pernah tenang oleh kerana dosa-dosanya.

Zaidi sering ternampak roh Lilian yang merupakan perempuan simpanan Tauke Boon yang sudah mati berkeliaran di rumah, pejabat atau di mana jua tempat yang dia pergi.

Dia menjadi lebih tertekan apabila jirannya, Roslan (Zamarul) terbunuh terkena peluru sesat semasa insiden Zaidi sedang bergelut dengan musuhnya.

Zaidi rasa bersalah atas apa yang berlaku terutama sekali apabila isteri Roslan, Maheran (Sheila) terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan.

Akhirnya, Zaidi didakwa atas kesalahan membunuh Roslan. Isterinya, Zahirah (Rozie) terpaksa menghabiskan wang untuk mengupah peguam handalan Azrin (Lisdawati) demi membebaskan suami yang tercinta.

Artikel Berikut

Artikel Lain