suria

Prestasi Suria FM makin meningkat, hargai sokongan media

Nubhan - foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU
Nubhan - foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU
Nubhan - foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU

SEBAGAI tanda penghargaan di atas sokongan pihak media, Suria FM baru-baru ini telah menganjurkan majlis istimewa 'Suria FM Together Gather Bersama Media' bagi meraikan kerjasama yang diberikan oleh media terhadap stesen radio itu selama ini.

Bertemakan warna biru dan putih, majlis ramah-mesra itu telah dihadiri oleh wartawan-wartawan hiburan dan tidak ketinggalan para editor hiburan pelbagai agensi media.

Turut menyerikan majlis ialah kehadiran artis-artis popular seperti Noryn Aziz, Hafiz AF7, Aril, Dafi, Ramlah Ram, Jay Jay, Stacy, Aizat, Liyana Jasmay, Fazli Zainal, Azharina, Siti Sarah dan Nubhan yang turut membuat persembahan pada acara tersebut.

Mengulas mengenai penganjuran majlis khas untuk media itu, kata Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, acara ini akan terus dijalankan setiap tahun bagi mengeratkan lagi hubungan antara krew Suria FM dan pihak media.

"Tahun lalu, kami pernah adakan majlis seperti ini buat pertama kalinya tetapi ia dibuat sekaligus dengan Rumah Terbuka Suria FM sempena Hari Raya.

"Dan kami memang sudah merancang untuk adakan acara ini setiap tahun sebagai tanda penghargaan kami terhadap pihak media yang sentiasa menyokong stesen radio ini," kata Emran yang ditemui pada majlis tersebut.

Selain disajikan dengan persembahan istimewa daripada artis-artis jemputan, sesi cabutan bertuah telah diadakan dengan menawarkan hadiah-hadiah istimewa dan lumayan kepada semua wakil media yang hadir seperti vaucer makan malam, vaucer penginapan, laptop, TV plasma dan barangan elektrik yang lain.

Hadiah wang tunai RM500 juga ditawarkan kepada enam wakil media menerusi nombor kerusi bertuah.

Ditanya mengenai prestasi Suria FM setakat ini, kata Emran, secara keseluruhannya, dia akui bangga dengan peningkatan jumlah pendengar stesen radio itu.

"Mengikut kaji selidik Nielsen Media Research baru-baru ini, Suria FM mendapat tempat ke-12 dalam carta kedudukan stesen-stesen radio tempatan manakala bagi stesen radio bahasa Melayu, kami menduduki tangga keempat.

"Bagi saya, ini adalah satu peningkatan yang boleh dibanggakan. Namun, saya akui kami tidak boleh terus rasa selesa di tahap ini," kata suami kepada penyanyi Erra Fazira ini.

Menurut Emran, buat masa ini, Suria FM sentiasa menyusun strategi tersendiri untuk meningkatkan lagi prestasi stesen radio itu, antaranya ialah penganjuran kuiz dan kempen untuk para pendengar.

"Ketika ini, kami sedang menjalankan kuiz Senyum & Menang bersama Tuah dan Zizi. Sebuah lagi kuiz yang bakal menyusul selepas ini ialah Lagu Berduit," katanya tentang projek terbaru Suria FM.

Ditanya mengapa Suria FM seolah-olah dilihat memberikan 'pendedahan' yang lebih terhadap dua DJ program pagi breakfast@suria, Tuah dan Zizi untuk sebarang program, kata Emran, stesen radio itu sebenarnya tidak pernah mengamalkan polisi 'anak emas'.

"Pendukung tulang belakang mana-mana stesen radio ialah promosi, muzik dan program pagi mereka. Begitu juga dengan Suria FM. Bukan sebab kita menganggap mereka adalah anak emas atau sebagainya, tetapi menerusi kajian kami sendiri, memang segmen di waktu pagi meraih jumlah pendengar yang ramai.

"Penyampai-penyampai lain juga faham tentang perkara ini, jadi tidak timbul apa-apa masalah," kata Emran lagi.

Artikel Lain