3 lembaga suci 'menguji' A. Wahab Hamzah - Hiburan | mStar

3 lembaga suci 'menguji' A. Wahab Hamzah

Para pelakon dan tenaga produksi Teater Perdana Intan Yang Tercanai. -foto DBP
Para pelakon dan tenaga produksi Teater Perdana Intan Yang Tercanai. -foto DBP

SELEPAS terlibat dengan penerbitan drama ‘Demi Zaiton’ dan ‘Sarah’ karya Datuk Noordin Hassan, kini baru pertama kali produser dan pengarah teater, A. Wahab Hamzah berpeluang mengarah drama yang ditulis oleh Sasterawan Negara tersohor itu.

Lebih-lebih lagi buah tangan terbaru Noordin yang lebih mesra dengan gelaran ‘Cikgu Noordin’ ini terpilih sebagai karya terbaik untuk dipentaskan dalam Teater Perdana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2009. Skrip drama itu diterbitkan pada tahun 2008.

Pementasan Teater Perdana itu sebagai salah satu acara sambutan DBP yang ke-53 dan mementaskan sebuah drama daripada naskhah yang ditulis oleh Sasterawan Negara.

Oleh itu, bukan mudah bagi Wahab untuk mengarah naskhah ini kerana dia perlu mengambil masa yang lama untuk bersetuju mengarah karya ini selepas hampir dua tahun melakukan perbincangan.

“Karya Cikgu Noordin ini agak sukar kerana ia bermain dengan banyak simbol dan perlambangan yang perlukan masa yang lama untuk memahaminya.

“Entah mengapa apabila dia memberikan keyakinan kepada saya, terus saya terima tawaran untuk mengarah drama itu.

“Saya bukanlah bagus sangat tetapi disebabkan saya menghargai dan menghormatinya, namun saya tetap rasa risau dan takut untuk mengarahnya. Jadi, saya akan berikan lebih daripada 100 peratus usaha untuk menjayakan teater ini,” kata Wahab yang memulakan kariernya dalam aspek penataan cahaya dalam teater ‘Zaman Gerhana’ (1986) dan ‘Salina’ (1986).

Selepas itu, dia mula mengarah drama pentas, ‘Teman’ (1993) bersama Zakaria Ariffin seterusnya bergiat aktif menerusi teater ‘Sungai Mengalir Lesu’ (1997), ‘Pesona Sastera Al-Amin’ (2000), ‘Telegram’ (2001), ‘Monodrama Hering’ (2002), ‘Fragmen drama Karam’ (2004), ‘Hering’ (2004) dan ‘Suria di Cordoba’ (2006).

Mengulas mengenai teater ‘Intan Yang Tercanai’, Wahab berkata para pelakon seperti Mardiana Alwi (Ungku Intan Anis), Arwindran a/l Kalaivanan (Danial Sundaram), Geethanjali Gausillia a/p Kathirvalu (Sandha), dan Rasdi Daud (Ustaz Fadzil) telah menjalani latihan sejak Mei lalu.

Teater itu turut menampilkan Fauziah Ahmad Daud (Lembaga Suci I), Norzizi Zulkifli (Lembaga Suci II) dan Juhara Ayob (Lembaga Suci III).

Kata Wahab, ketiga-tiga aktres ini bukan muncul dalam lembaga yang menakutkan tetapi ‘lembaga cantik’ mewakili ‘simbol’ yang digunakan oleh Cikgu Noordin.

“Saya tafsirkan lembaga itu sebagai malaikat tetapi terpulang kepada khalayak.

“Hal itu boleh dikaitkan dengan sifat manusia yang berlaku iaitu peristiwa ‘Terowong Al-Mu’aysam di Mekah pada tahun 1990 melibatkan 1,426 jemaah haji yang mati akibat terhimpit dan dipijak dalam terowong.

“Drama ini berlatar belakangkan peristiwa itu tetapi cerita sebenarnya mempersoalkan tentang manusia yang berhadapan dengan dugaan, erti kesabaran, keunggulan wanita dan kesucian ibu.

“Hendak tafsir naskah ini nampak ringan tetapi kompleks namun saya yakin naskhah ini lebih mudah difahami,” tutur Wahab mengenai teater yang bercorak mistik, keagamaan dan kemanusiaan ini.

Tambahnya, elemen cinta juga boleh ditafsirkan antara hubungan Danial dan Ungku Intan Anis.

Jelas Wahab, kehadiran pelakon-pelakon utama juga memberi sedikit-sebanyak keyakinan kepadanya untuk mengarah teater itu.

“Mardiana memang berpotensi untuk melakonkan watak Ungku Intan Anis. Selain dia, saya ada pelakon berpengalaman iaitu Ogy, Norzizi dan Juhara yang melakonkan watak lembaga termasuk Rasdi Daud yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam teater.

“Saya juga mengambil dua pelakon India baru iaitu Geethanjali Gausillia a/p Kathirvalu dan Arwindran a/l Kalaivanan sesuai untuk watak orang India dan mempunyai kekuatan yang diinginkan,” katanya yang kali ke-3 mengarah karya Sasterawan Negara.

Karya pertama Sasterawan Negara yang diarahkan olehnya adalah ‘Sungai Mengalir Lesu’ (Datuk A. Samad Said) dan ‘Sandera’ (Arenawati).

Secara keseluruhannya dia menyimpulkan teater ‘Intan Yang Tercanai’ adalah menghiburkan dan berunsurkan intelektual kerana menguji minda penonton.

Teater ini akan dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP pada 8 hingga 12 Julai ini dengan membeli tiket berharga RM20 manakala RM10 untuk kanak-kanak menerusi www.ticket2u.biz.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain