suria

Pija & Fara nekad teruskan perjuangan menerusi 'Posh'

Pija dan Fara pada majlis pelancaran album duet mereka, 'Posh' baru-baru ini. (Foto oleh Shaari Chemat)
 Pija dan Fara pada majlis pelancaran album duet mereka, 'Posh' baru-baru ini.
(Foto oleh Shaari Chemat)
Pija dan Fara pada majlis pelancaran album duet mereka, 'Posh' baru-baru ini. (Foto oleh Shaari Chemat)

DUA beradik ini mempunyai persamaan di dalam bidang seni - berbakat, tetapi agak 'terpinggir'.

Naufara Mohd Yasin atau Fara dan adiknya, juara program realiti Mentor musim pertama, Norafizah Yasin atau Pija memiliki bakat yang bagus di dalam bidang nyanyian tetapi tuah tidak begitu menyebelahi mereka.

Mengimbas profil seni Fara, dia pernah menghasilkan album sekitar tahun 2002 yang turut melonjakkan namanya menerusi lagu Ku Bukan Seperti Dulu. Namun begitu, nama Fara kembali 'suram' dan hanya lebih menjurus kepada undangan menjayakan persembahan saja.

Setelah kira-kira enam tahun, barulah peluang sekali lagi muncul buat gadis berusia 26 tahun ini apabila dia dan adiknya Pija ditawarkan oleh komposer terkenal Datuk Wah Idris untuk menghasilkan album single secara duet.

Bukan setakat itu, mereka juga menjadi artis pertama bernaung di bawah label Prima Music milik Wah sendiri. Satu peluang yang dianggap cukup berharga oleh Fara apatah lagi dia sendiri memang rindu untuk kembali aktif di dalam bidang ini.

Malah, dia dan Pija juga pernah menyimpan impian untuk menghasilkan album bersama dan tidak sangka, hasrat tersebut telah dilaksanakan oleh komposer terkemuka itu.

Mempertaruhkan lagu berjudul Posh, lirik hasil nukilan bersama Pija dan ciptaan Wah, Fara berharap single tersebut mampu membawanya kembali mewarnai industri hiburan tanahair termasuklah sebuah lagu solo nyanyiannya, Julangkanlah.

"Idea untuk menghasilkan album single bersama Pija ini tercetus tahun lalu. Pada mulanya, Datuk Wah 'approach' Pija dulu setelah menyaksikan persembahannya pada sebuah acara sempena sambutan kemerdekaan tahun lepas. Ketika itu, saya hanya bantu Pija menguruskan karier seninya.

"Datuk Wah kemudiannya mendapat tahu bahawa saya juga pernah menyanyi sebelum ini dan dia memanggil saya untuk ujibakat. Saya masih ingat lagi, Datuk carikan saya sebuah 'show' dan dari situ dia menilai tahap persembahan saya.

"Akhirnya, dia sendiri yang cadangkan agar saya dan Pija hasilkan lagu single bersama. Sejujurnya, saya seronok dan sangat berpuas hati dapat bekerja dengan Datuk Wah. Banyak ilmu yang dia curahkan kepada saya dan Pija," kata Fara.

Namun begitu, Fara menyangkal tohmahan ramai yang merasakan dirinya hanya menumpang populariti Pija yang dilihat lebih menyerlah di dalam bidang ini berbanding dirinya.

"Sesiapa saja mempunyai hak untuk bercakap apa saja. Terpulanglah kepada mereka, cuma apa yang boleh saya katakan, saya sentiasa berfikiran positif.

"Tidak timbul isu saya bergantung populariti Pija kerana jika betul saya seperti yang orang katakan, sudah lama sepatutnya saya buat. Tetapi saya tetap meletakkan usaha sendiri untuk kembali di dalam bidang ini," tutur Fara yang kini juga mempunyai sebuah syarikat pengurusan acara, Red Apple Communication yang diuruskan bersama rakan kongsinya.

Berbicara tentang album single 'Posh' itu, kata Fara, album tersebut hanya memuatkan tiga buah lagu iaitu Posh (duet bersama Pija), Julangkanlah (solo Fara) dan Terawal dan Terakhir (solo Pija) yang mana kesemuanya merupakan ciptaan Wah sendiri.

"Album ini berkonsepkan pop, rock dan r&b yang mana kami 'create' sebuah genre merangkumi tiga jenis muzik ini dipanggil 'Posh'. Sebab itu, kami sesuaikan dengan lagu Posh yang kami pertaruhkan ini.

"Lagu tersebut turut istimewa kerana liriknya lebih ke arah motivasi dari segi personaliti dan gaya hidup," ujar Fara yang bakal menghasilkan album penuh tidak lama lagi.

Pija lega tamat 'derita

Sama seperti kakaknya, perjalanan karier Pija juga bermula dengan sangat baik setelah bergelar juara Mentor musim pertama. Apatah lagi, gadis berusia 23 tahun ini mendapat bimbingan daripada mentor hebatnya, penyanyi tersohor Zainal Abidin.

Namun begitu, entah di mana silapnya, karier nyanyian Pija dilihat terumbang-ambing. Hanya berharap menerusi single sulungnya, Luka, karier Pija bagaimanapun dilihat terus 'lesu'.

Lantaran itu, apabila Wah menawarkan Pija untuk menghasilkan album dan menjadi artis rakaman Prima Music, Pija hanya mampu melahirkan perasaan syukur apabila menyedari masih ada yang menghargai bakatnya itu.

"Banyak cabaran yang teah saya lalui dan saya amat berterima kasih kepada Datuk Wah yang memberikan peluang ini. Sebenarnya, saya tidak 'menghilang' ke mana...Saya telah mengikat kontrak dengan label Dream Park selama tiga tahun setelah saya memenangi Mentor.

"Tapi selama setahun saya bersama mereka, tidak ada apa pun yang mereka lakukan. Sehingga saya jadi cukup fobia untuk terima tawaran lain ketika itu walaupun 'offer' yang saya dapat juga agak banyak. Saya ada mengadu dengan Abang Zainal dan dia juga kasihankan saya dan sanggup mencari 'show' untuk saya.

"Tetapi saya terfikir sampai bila saya perlu susahkan dia. Sehinggalah saya bertemu dengan Datuk Wah yang banyak beri tunjuk ajar kepada saya.

"Melihat kesungguhannya yang ingin membantu dan tidak mahu mensia-siakan bakat saya, sebaik tamat kontrak tidak lama dulu terus saya terima tawaran Datuk Wah," kata Pija.

Katanya, dia berharap percaturannya kali ini bakal membuahkan hasil setelah 'kegagalan' yang dilalui dulu.

"Dapat 'keluar' semula di dalam industri ini adalah satu peluang yang cukup berharga buat saya. Lebih menggembirakan saya ialah kerana dapat bekerjasama dengan kakak saya sendiri selain dapat bimbingan terus daripada pemuzik hebat seperti Datuk Wah.

"Kami akan beri tumpuan yang penuh terhadap album ini terlebih dahulu sebelum tampil dengan album solo masing-masing kelak. Lebih baik lakukan satu persatu terlebih dahulu," kata Pija yang turut mempertaruhkan lagu solo nyanyiannya, Terawal dan Terakhir yang ditulis oleh Pija sendiri.

Artikel Lain