suria

P Ramlee beri tuah buat Musly

PERJALANAN Musly Amir Mohammed Ramli atau lebih dikenali dengan nama komersialnya, Musly Ramlee di dalam bidang seni sememangnya sudah lama bermula.

Namun, tidak dinafikan penyanyi dan pelakon yang popular sebagai 'klon' Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ini mengambil masa yang agak lama untuk berada di tahapnya ketika ini.

Berkat kesabaran Musly selama ini berbaloi apabila dia ditawarkan oleh Enfiniti Productions untuk memegang watak utama dalam P. Ramlee The Musical musim kedua tidak lama dulu iaitu sebagai Seniman Agung itu sendiri.

Bertitik tolak daripada situ, nama penyanyi dan pelakon berusia 40 tahun ini terus melonjak apatah lagi dengan keberkesanan watak P. Ramlee yang dibawanya dan dikatakan berjaya 'menghidupkan' semula ikon hiburan tanah air itu.

Ternyata pencapaian itu cukup manis buat Musly sepanjang bergelar anak seni. Tidak terhenti di situ saja, Musly terus ditawarkan pula oleh Enfiniti sekali lagi untuk menjadi hos program bual bicara, Hore Hore Hore sempena bulan tribut khas filem-filem P. Ramlee di Astro Prima bulan hadapan.

"Ini adalah kali pertama saya ceburi bidang pengacaraan dan saya akui, bidang ini memang paling sukar berbanding nyanyian dan lakonan. Apatah lagi pada episod permulaan, saya diberikan skrip lima minit sebelum bermulanya rakaman, jadi saya memang cukup gementar.

"Tetapi biasalah, ini baru permulaan pertama. Memang ada skrip yang diberi kerana pada setiap minggu kita akan ada topik yang akan diperbincangkan bersama artis-artis jemputan, tetapi ada juga yang kita perlu tambahkan sendiri.

"Itulah yang mencabarnya buat orang baru seperti saya. Insya-Allah, jika pihak penerbitan ingin panjangkan lagi program ini kelak, saya akan cuba perbaiki lagi kelemahan yang ada," kata Musly yang ditemui pada majlis pelancaran projek 'Inpirasi P. Ramlee' di Matic Kuala Lumpur baru-baru ini.

Projek Inspirasi P. Ramlee diterbitkan oleh Trinini Media, produksi milik aktor, pengarah dan penulis skrip Adlin Aman Ramli yang juga akan disiarkan di Astro Prima sempena bulan tribut P. Ramlee itu.

Projek itu merupakan persembahan lima buah telefilem adaptasi istimewa yang diinspirasikan daripada beberapa buah filem seniman itu dan lima karya beliau yang diberi 'sentuhan' baru oleh pengarah-pengarah tempatan ialah Babak Empat Madu Tiga arahan Adlin, Orang Minyak Naik Minyak (Afdlin Shauki), Senandung Malam (Dain Iskandar dan Al-Jeffry), Misteri Penarek Becha (Adman Salleh) dan Sonata Labu Labi (Adlin).

Musly turut menjayakan beberapa telefilem itu bersama barisan pelakon lain seperti Afdlin Shauki, Emelda Rosmila, Que Haidar, Nabil Raja Lawak, Jue Aziz, Atilia, Musly Ramlee, Khir Rahman dan Adlin sendiri.

Berbalik kepada program Hore Hore Hore kendalian Musly itu, ia telah pun memulakan siaran pertamanya 27 Oktober lalu dan empat lagi episod seterusnya akan disiarkan setiap Isnin pada pukul 9 malam.

Program terbitan Enfiniti Productions ini akan membincangkan topik-topik hangat bersama artis-artis jemputan sambil disajikan dengan sketsa komedi dan persembahan lagu malar segar yang diberi nafas baru serta diiringi oleh penari-penari hebat di bawah bimbingan koreografer Pat Ibrahim.

Set program bual bicara ini juga akan membawa penonton mengimbas kembali kegemilangan zaman Jalan Ampas termasuklah penampilan tiga orang gadis yang memegang watak ala gadis kabaret.

Antara artis-artis yang diundang ialah Ning Baizura, Datuk Aziz Sattar, Erra Fazira, Vanida Imran, Ida Nerina, Adlin Aman Ramli dan Liza Hanim.

"Saya anggap ini adalah karier baru saya selepas terlibat dengan P. Ramlee The Musical. Inilah pengalaman baru dalam kerjaya saya dan saya akui, pasti akan ada kekurangannya.

"Tetapi pengalaman yang saya dapat sebagai hos ini memang sesuatu yang cukup menarik. Walaupun tidak pernah menjadi hos, saya kena berani lalui cabaran ini kerana bagi saya, apabila kita menceburi bidang seni, kita kena berani mencuba cabang-cabang seni yang lain," kata Musly.

Ditanya sama ada dia terus selesa dengan dengan label klon P. Ramlee, kata Musly, dia menganggap itu adalah anugerah Allah dan berharap legasi seniman itu tidak akan berkubur begitu saja.

"Sukar untuk menjelaskan tentang hal ini. Bukan mudah untuk menangkis bayang P. Ramlee daripada diri saya apatah lagi orang banyak mengenali saya kerana berimej seperti seniman itu.

"Bagi saya, walaupun orang melihat saya seperti P. Ramlee, tetapi saya tidak pernah rasa saya hanya perlu memegang watak P.Ramlee saja untuk mana-mana drama," kata Musly lagi.

Artikel Lain