suria

Sehati Berdansa: Shahril, Noraini 'mangsa' seterusnya

Pasangan Shahril Arsat (kanan) dan isteri, Noraini Morat (dua kanan) mengikut jejak langkah Mohd Ashid Ahmad atau Ashed (kiri) dan isteri Sharifah Noor Shima Syed Masnu atau Shima (dua kiri) yang menjadi 'mangsa' penyingkiran pertama pada minggu lalu.
Pasangan Shahril Arsat (kanan) dan isteri, Noraini Morat (dua kanan) mengikut jejak langkah Mohd Ashid Ahmad atau Ashed (kiri) dan isteri Sharifah Noor Shima Syed Masnu atau Shima (dua kiri) yang menjadi 'mangsa' penyingkiran pertama pada minggu lalu.
Pasangan Shahril Arsat (kanan) dan isteri, Noraini Morat (dua kanan) mengikut jejak langkah Mohd Ashid Ahmad atau Ashed (kiri) dan isteri Sharifah Noor Shima Syed Masnu atau Shima (dua kiri) yang menjadi 'mangsa' penyingkiran pertama pada minggu lalu.

MINGGU kedua bagi musim terbaru program realiti tarian yang melibatkan selebriti dan pasangan masing-masing, Sehati Berdansa menyaksikan pasangan Shahril Arsat dan isteri, Noraini Morat pula tersingkir, mengikut jejak langkah Mohd Ashid Ahmad atau Ashed dan isteri Sharifah Noor Shima Syed Masnu atau Shima yang menjadi 'mangsa' penyingkiran yang pertama minggu lalu.

Shahril atau mesra disapa Shah dan Aini menjadi pasangan yang menerima markah keseluruhan terendah berbanding lapan pasangan lain yang mana konsep pemarkahannya adalah 50 peratus daripada penilaian juri profesional manakala 50 peratus lagi berdasarkan undian SMS penonton.

Juri tetap program ini adalah koreografer terkenal Linda Jasmine dan Hamzah Tahir manakala penyanyi Noraniza Idris pula diundang selaku juri jemputan minggu ini, bersesuaian dengan tema tarian kali ini iaitu Melayu Kontemporari.

Secara ringkasnya, Sehati Berdansa disertai oleh 10 pasangan selebriti yang mana mereka dibimbing oleh koreografer masing-masing dan pada setiap minggu, mereka akan diberikan tema tarian yang perlu dipersembahkan pada konsert mingguan iaitu pada 'Malam Sehati Berdansa'.

Menariknya program ini, setiap pasangan tersebut turut mewakili badan-badan kebajikan tertentu yang mana pada setiap minggu, mereka akan menyumbang sebanyak RM1,000 selagi mereka masih kekal di dalam program ini.

Ashed dan Shima yang tersingkir minggu lepas telah mewakili Persatuan Pencinta Alam Malaysia manakala Shah dan Aini pula mewakili Yayasan Jantung Malaysia. Lapan pasangan lain pula ialah Khai dan Rosma (Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia), Sabrina Ali dan Shahrin (Persatuan Kesihatan Mental Malaysia), Ani Maiyuni dan Zairi (Majlis Kanser Nasional), Jamal Jamaludin dan Faridah (Pusat Kebangsaan Autism Malaysia), Sasha Saidin dan Salyo (Persatuan Diabetes Malaysia), Amyza Aznan dan Khairil (Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia), Lisdawati dan Fauzi Nawawi (Rumah Nur Salam) serta Mazin dan Anisa (Persekutuan Orang Pekak Malaysia).

Ditemui sejurus selepas diumumkan tersingkir pada program yang dihoskan oleh Linda Onn dan Fahrin Ahmad itu, Shah akui kecewa kerana hanya mampu bertahan selama dua minggu sahaja meskipun sudah menjangkakan tentang perkara itu.

"Saya dan isteri memang sudah cuba melakukan yang terbaik sebab itu saya memang rasa kecewa bila diumumkan terkeluar minggu ini. Memang saya tidak nafikan hati ada terdetik kemungkinan akan tersingkir lebih-lebih lagi bila kami mendapat markah yang agak rendah daripada pihak juri.

"Saya tidak nafikan, faktor populariti juga mungkin menjadi penyebab penyingkiran kami lagipun peserta-peserta lain juga semuanya hebat-hebat.

"Tetapi, saya tidak dapat menyangkal perasaan sedih kerana tempoh kami berada di dalam program ini hanya sekejap saja. Sejujurnya, saya sudah cuba sehabis baik...daripada tak tahu menari langsung, kini sudah boleh menari sikit-sikit.

"Apapun, saya berbangga juga kerana saya cuba tunjukkan bahawa pemain bola juga boleh menari walaupun tidak sehebat mana," ujar bekas pemain bola sepak Selangor dan Kebangsaan ini.

Lebih menyedihkan pasangan ini ialah kerana mereka hanya mampu menyumbangkan sebanyak RM2,000 sahaja kepada badan kebajikan yang mereka wakili iaitu Yayasan Jantung Malaysia. Sebagai ibubapa yang turut mempunyai anak yang menghidap penyakit jantung, Shah dan Aini sememangnya cukup tersentuh apabila memikirkan nilai sumbangan yang tidak seberapa itu untuk membantu pesakit-pesakit jantung yang memerlukan wang yang banyak untuk kos rawatan.

"Memang niat kami menyertai program ini ialah kerana ia adalah sebuah program berbentuk kebajikan. Kebetulan pula kami mewakili Yayasan Jantung Malaysia yang mana anak kedua kami, Khayrin Qistina, 3 tahun, juga menghidap penyakit jantung berlubang.

"Jadi kami faham bagaimana tingginya kos rawatan itu. Qistina juga akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat ini dan kosnya mencecah lebih RM30,000," tutur Shah yang akui dia juga masih lagi mencari sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung kos tersebut.

Kata Shah, Qistina yang merupakan anak bongsunya itu menghidap penyakit tersebut sejak lahir lagi. Namun, menurut doktor, kanak-kanak itu boleh melakukan pembedahan kelak kerana keadaannya tidak begitu membimbangkan.

Namun, setelah Qistina sering mengalami demam sejak kebelakangan ini, Shah dan Aini bercadang untuk mempercepatkan pembedahan bagi mengelakkan tahap kesihatannya bertambah teruk.

Peserta dilaporkan mengandung, Astro tunggu laporan doktor

Minggu kedua Sehati Berdansa kali ini memilih Melayu Kontemporari sebagai temanya yang mana kesemua pasangan telah mempamerkan tarian sambil diiringi lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Noraniza Idris.

Kali ini, pelakon Amyza Aznan dan suami, Khairil berjaya mengatasi lapan peserta lain apabila mereka menerima markah keseluruhan tertinggi minggu ini. Persembahan yang menarik turut menjadi kekuatan pasangan ini untuk muncul di tangga teratas kedudukan markah tersebut.

Tidak ketinggalan memberikan persembahan yang hebat ialah pasangan Khai dan Rosma, Lisdawati dan Fauzi Nawawi serta Mazin dan Anisa. Empat pasangan lain juga dilihat tetap mempamerkan tarian yang tidak mengecewakan, cuma nampaknya nasib tidak menyebelahi Shah dan Aini yang menjadi pasangan yang menerima markah terendah minggu ini.

Mengulas mengenai tahap persembahan peserta setelah dua minggu berlangsungnya program ini, kata Linda Jasmine, setiap pasangan telah mula menunjukkan semangat bertanding.

"Masing-masing mula menunjukkan usaha yang tinggi. Apapun, kami sedar yang mereka bukannya penari profesional. Tetapi, secara peribadi, saya sudah boleh nampak ada dua tiga pasangan yang mula menyerlah dalam program ini.

"Walaubagaimanapun, kita kena faham konsep pertandingan ini pasti ada yang akan tersingkir pada setiap minggu," kata Linda.

Perkara itu turut dipersetujui oleh seorang lagi juri tetap program ini, Hamzah Tahir yang merasakan setiap pasangan berjaya memberi 'kejutan' pada minggu kedua ini. Namun, tambahnya, dia tidak menolak populariti turut menjadi faktor yang menentukan berapa lama peserta-peserta ini mampu bertahan.

"Saya memang kagum melihat usaha yang mereka letakkan dalam persembahan kali ini. Sebagai contoh, Shah dan Aini, walaupun mereka tersingkir, saya rasa mereka sudah berikan persembahan yang cukup baik minggu ini.

"Kami sendiri tidak mampu menjangka pasangan mana yang akan tersingkir sebenarnya. Tetapi, saya tidak rasa penyingkiran mereka adalah disebabkan kerana mereka tidak begitu pandai menari kerana jika diikutkan, banyak juga pasangan lain yang tidak ada asas menari...cuma saya rasa faktor populariti turut memberi impak," kata Hamzah.

Baru saja memasuki minggu kedua, difahamkan pula salah seorang peserta program ini dikatakan mengandung. Diajukan pertanyaan ini kepada penerbit, Norazian Tahir, dia berkata, buat masa ini pihak produksi belum dapat mengesahkan tentang perkara tersebut.

Namun, Norazian mengaku pemeriksaan doktor telah dibuat terhadap peserta terbabit dan masih menantikan laporan selanjutnya.

"Saya minta maaf, buat masa ini kami belum boleh mendedahkan siapa peserta tersebut. Jika laporan doktor nanti mengesahkan peserta itu mengandung, kami pihak penerbitan memang akan menyarankan kepada pasangan ini untuk menarik diri kerana risikonya tinggi jika mereka terus kekal di dalam program ini.

"Tetapi apapun, semuanya terpulang kepada pasangan itu sendiri. Kita kalau boleh tidak mahu ambil sebarang risiko apatah lagi program ini memerlukan banyak pergerakan dan pastinya cukup berisiko untuk wanita mengandung.

"Tetapi, mungkin juga pasangan tersebut akan membincangkan tentang pergerakan atau gerak tari yang sesuai dibawakan bersama koreografer mereka. Kita akan bincangkan perkara ini kelak jika sudah ada pengesahannya nanti," kata Norazian.

Artikel Lain