suria

Sangsi status perkahwinan: Aziz serah pihak bertauliah uruskan

PETALING JAYA: "Saya tak tahu dan tak boleh beri kenyataan pasal status perkahwinan kerana semua keputusan dirujuk kepada pakar," ujar produser filem dan drama Aziz M. Osman yang masih enggan memberi komen mengenai tindakan isterinya, Nor Radhiah Ramli yang berkunjung ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu untuk menguruskan kes status perkahwinannya.

Menurut wanita berusia 22 tahun ini, selepas perbincangan dilakukan dengan pihak Mahkamah Syariah, hakim telah memutuskan supaya dia mengisi borang permohonan pengesahan perkahwinan.

Difahamkan, sehubungan perkara di atas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri Terengganu juga telah mengeluarkan sijil perkahwinan mereka.

Hari ini, Radhiah ketika dihubungi berkata dia telah menyerahkan borang tersebut di mahkamah dan akan kembali mendengar sebutan kes selepas 21 hari nanti.

Ketika diajukan perkara ini kepada Aziz, dia berkata, semua itu terpulang kepada Radhiah dan dia akan menyokong segala tindakan yang diambil.

"Itu kehidupan dia. Takkan saya nak larang. Saya juga akan tampil ke mahkamah kalau dipanggil nanti," jawab Aziz sinis.

Aziz, yang masih berada di Langkawi, Kedah ketika ditanya samada dia sudi berjumpa dengan Radhiah jika ada kelapangan?

Jawab Aziz: "Boleh, tak salah kalau dia nak jumpa saya."

Sebelum ini, ibu Aziz, Afida Es berkata Aziz mengetahui isterinya masih dalam tempoh edah selepas mendapat maklumat daripada bekas suami isterinya. Untuk mendapatkan kepastian, Aziz ke Mahkamah Syariah dan mendapati maklumat itu benar.

Namun, Radhiah pula memberi maklumat bercanggah iaitu Aziz mengetahui segala-galanya bermula daripada dia perkahwinan tidak sahnya sehingga dia turun naik mahkamah untuk menyelesaikan masalah itu di mana perkahwinannya yang pertama dahulu sudah terbatal selepas mendapat surat daripada mahkamah pada 28 Julai lalu.

Bagaimanapun, Aziz enggan menjawab apabila ditanya tentang percanggahan tersebut.

"Saya tak nak rumitkan keadaan dan menambah kekecohan." kata Aziz.

Tegasnya, "Kalau boleh saya nak selesaikan masalah ini secepat mungkin. Bukan siapa yang mencucuk siapa.

"Hal ini melibatkan hukum agama. Yang penting, kita tahu perkara ini daripada pihak yang tertentu seperti peguam dan mahkamah.

"Saya tak tahu prosedurnya dan takut terkena diri-sendiri balik.

"Ini bab hukum dan ia perlu merujuk orang yang lebih arif. Jadi tak timbul saya mempertahankan sesiapa atau tidak."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain