PERASAAN cemburu dan syak wasangka gara-gara mangsa dipercayai bertemu dengan lelaki lain dipercayai menjadi punca seorang remaja tergamak menjerut teman wanitanya sehingga maut di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih, Kuantan, pada Selasa.Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, suspek berusia 19 tahun yang sudah ditamatkan pengajian itu berada di rumah sewa mangsa sejak seminggu lalu. "Suspek dipercayai datang ke rumah sewa mangsa kira-kira seminggu sebelum kejadian untuk tinggal bersama. Mangsa menyewa bersama beberapa orang rakan di rumah berkenaan.ARTIKEL BERKAITAN: Ajal selepas bergaduh... Remaja lelaki hubungi polis, beritahu teman wanita tak sedarkan diri atas katil rumah sewa"Motif pembunuhan kita percaya adalah akibat cemburu antara pasangan kekasih apabila suspek mengesyaki mangsa berjumpa dengan lelaki lain," katanya dalam sidang media di Bentong, pada Rabu.Menurut Azry, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.mStar pada Selasa melaporkan seorang pelajar wanita berusia 19 tahun ditemukan terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah rumah sewa di Jalan Air Putih, Kuantan.Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.32 pagi yang dibuat sendiri oleh suspek.Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden berkenaan berpunca daripada pertengkaran antara suspek dengan mangsa.Ujarnya, pemeriksaan pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher sebelum mangsa disahkan meninggal dunia. Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 12 Oktober.