Insiden membabitkan Mohd Suhaily dan anggota unit Cawangan Khas tersebut tular di media sosial sehingga mendapat perhatian ramai.
DUA anggota polis Cawangan Khas yang didakwa dikasari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal1) menafikan sekeras-kerasnya pembabitan mereka sebagai ‘ulat’ atau terlibat dalam kegiatan ‘kaunter setting’.Penafian itu dibuat menerusi firma guaman yang mewakili kedua-dua anggota berkenaan iaitu Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad. Menegaskan perkara tersebut, firma itu menyatakan sebarang bentuk dakwaan berunsur fitnah sedemikian perlu disokong dengan bukti kukuh dan tidak sepatutnya timbul bagi mengalihkan perhatian daripada isu utama kejadian."Kedua-dua anggota berkenaan sedang menjalankan tugas rasmi ketika kejadian di KLIA1 pada 28 September lalu."Kami menafikan sebarang gambaran bahawa anak guam kami bertindak sebagai ‘ulat’ atau terlibat dalam sebarang ‘kaunter setting’."Sebarang dakwaan sedemikian hendaklah disokong dengan bukti dan tidak seharusnya digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada isu utama," ujarnya menerusi kenyataan pada Rabu.Susulan itu, firma terbabit menegaskan isu utama yang perlu diberi perhatian ialah dakwaan bahawa kedua-dua anak guamnya dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Suhaily Mohd Zain.Ia berikutan, kejadian tersebut didakwa menyebabkan kedua-dua anggota mengalami kecederaan, selain menjejaskan maruah mereka kerana berlaku di hadapan orang awam.Malah katanya, daripada sudut perundangan berdasarkan fakta dan keterangan yang sedang dikemukakan kepada pihak berkuasa, tindakan yang didakwa berlaku berpotensi membabitkan peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan.Firma guaman itu turut mendakwa terdapat kenyataan di media sosial dan saluran rasmi selepas kejadian yang memberikan gambaran berbeza daripada keadaan sebenar mengikut versi anak guamnya."Kami berpandangan bahawa sebarang kenyataan awam berhubung perkara yang masih dalam siasatan hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab dan tidak seharusnya menjejaskan proses siasatan," katanya.Sehubungan itu, firma berkenaan menyeru supaya siasatan dijalankan secara telus, bebas dan segera, dengan sebarang tindakan undang-undang ditentukan berdasarkan bukti serta hasil siasatan.Orang ramai turut diminta tidak membuat kesimpulan berdasarkan naratif yang belum disahkan dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa."Kedua-dua anak guam kami menegaskan bahawa mereka sedang menjalankan tugas rasmi pada ketika kejadian dan berhak mendapat perlindungan serta keadilan di sisi undang-undang," tambah firma berkenaan.Terdahulu, tular rakaman video yang memaparkan Mohd Shuhaily memarahi individu di KLIA Terminal 1, susulan kejadian pada 28 September lalu.AKPS kemudian mengesahkan klip berkenaan merupakan rakaman sebenar daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di terminal tersebut.Susulan itu Mohd Suhaily berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan berharap proses berkenaan dapat memberikan keadilan kepada semua pihak.