suria

Komedi Harith Iskander jelajah seluruh Malaysia

SEMUA sudah sedia maklum dengan persembahan stand-up comedy Harith Iskander sejak 15 tahun lalu.

Sedekad lalu, dia telah membuat beratus pertunjukan 'live' dan menghiburkan beribu rakyat Malaysia termasuk rakyat asing dengan keunikan dan idea yang asli.

Namun, tahun ini merupakan kali pertama Harith melakukan persembahan komedi jelajah ke seluruh Malaysia dengan tajaan Celcom.

Mulai 3 November hingga 12 Disember depan, Tall Order Production Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh pelakon, pengarah dan produser Hans Isaac bakal menggegarkan penduduk di Kota Kinabalu, Miri, Kuching, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan Harith Iskander Nationwide Live Comedy Tour.

Setakat ini, Hans berkata sudah 50 peratus tiket dijual di outlet tiket berkenaan dengan harga dari RM63 hingga RM203.

Sebelum ini, mungkin ada yang tidak berkesempatan menonton lawak jenaka yang dibuat oleh Harith di Actors Studio, Bangsar seperti I Dunno, Eh? Got Free Ticket Ah?, Man On Stage Telling More Funny Stories yang 'sold out' kerana studio itu hanya mampu memuatkan 260 penonton.

Kata Harith, kelima-lima persembahan yang dilakukan di studio tersebut turut diterbitkan oleh Hans.

Mengenai penerimaan penonton di sana, Harith yakin ramai penonton yang akan 'turun padang' menyaksikan persembahan yang turut disertai oleh pelakon Douglas Lim itu lebih-lebih lagi di Sabah dan Sarawak.

"Saya pernah buat persembahan di Kota Kinabalu dan Kuching yang kebanyakannya adalah persembahan korporat. Apa yang saya lihat mereka boleh menerima persembahan saya.

"Walaupun persembahan korporat, saya lihat ia bukan sahaja disertai oleh pihak pengurusan tetapi ada juga penonton low level. Tak kira sesiapa pun, mereka yang datang pasti terhibur.

"Saya mendapat tahu pihak pelancongan Sabah dan Sarawak akan memberi sokongan dan galakan kepada pelancong untuk menyertai persembahan ini," jawab Harith ketika sidang media di The Apartments, Suria KLCC semalam.

Dari segi persediaan, Harith berkata dia dan Douglas cuba 'menghidu' isu panas dan gaya hidup penduduk di Miri dan Kota Kinabalu pada seminggu lalu.

Dimaklumkan, Harith akan melakukan persembahan selama satu jam setengah sementara Douglas akan melakukan opening act pada setengah jam yang pertama.

Apa yang menarik Harith memilih Douglas kerana pemuda Cina ini merupakan seorang pemuzik dan penyanyi berbentuk komedi.

"Dia kelakar." ringkas Harith. Douglas juga sudah banyak kali bekerjasama dengan Harith.

"Dulu, dia banyak mengikuti persembahan saya dan dia nak buat apa yang saya buat. Saya nampak persembahannya semakin ada peningkatan," jelas Harith yang merasakan stailnya dan Douglas tetap berbeza.

Berkolaborasi dengan Nabil tahun depan

Sebelum ini, Harith ada menyebut tentang perancangannya untuk melakukan stand-up comedy dengan juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad.

"Saya pasti akan berkolaborasi dengannya pada tahun depan. Lagipun, sekarang saya lihat di mana-mana sahaja selalu ada muka dia.

"Apa yang saya suka tentangnya adalah kami mempunyai persamaan dari segi bercerita pengalaman hidup sewaktu melakukan komedi. Saya suka mencari kehidupan dan keseimbangan dalam diri. Cuma dia sampaikan dalam versi bahasa Melayu," tutur Harith yang tidak mungkin akan melakukan stand-up comedy untuk TV.

Hos Thursday Night Live di NTV7 ini akui bukan mudah untuk menarik perhatian penonton di televisyen kerana dia tidak tahu samada orang suka atau tidak menonton persembahannya.

"Jika di televisyen, kita tak tahu siapa yang menonton tetapi mereka yang membayar untuk menonton persembahan saya pasti faham apa yang ada di dalamnya," akhirinya yang turut terlibat untuk pengambaran siri Phua Chu Kang musim kelapan di Malaysia pada Disember depan.

Artikel Lain