PELAKON sensasi Nikita Mirzani meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak Bank Central Asia (BCA), Indonesia selepas butiran transaksi akaun bank miliknya dibongkar sewaktu prosiding kes pemerasan dan penggubahan wang haram di Mahkamah Negeri Jakarta Selatan pada Khamis.
Kompas melaporkan, Nikita merupakan pelanggan prioriti BCA namun pihak bank didakwa memberi kebenaran kepada penyiasat untuk mengakses rekod transaksi akaun tanpa sebarang notis atau pengesahan terlebih dahulu.
"Saya sangat kecewa kerana kebetulan saya adalah pelanggan prioriti. Saya kecewa kerana penyata akaun saya dibongkar begitu saja," katanya.

Nikita meluahkan rasa kecewa ketika prosiding di mahkamah.
Menurut Nikita, dia turut kesal dengan syarikat perbankan itu kerana didakwa membocorkan maklumat membabitkan data kewangan pendapatannya.
"Dalam penyata itu jelas ada pembayaran dari filem Comic 8, kerja-kerja pengiklanan dan hasil persembahan di luar bandar.
"Kadang-kadang saya menyanyi cuma 45 minit tetapi bayaran diterima sebanyak 125 juta Rupiah Indonesia (RM32,000)," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Nikita Mirzani mengamuk tak mahu digari… “Saya enggan balik ke penjara untuk kes jenayah bodoh ini”
ARTIKEL BERKAITAN: Pihak berkuasa kesan wang hampir RM1 juta dalam akaun Nikita Mirzani, bukti kes peras ugut dan penggubahan wang haram
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Komunikasi Korporat & Tanggungjawab Sosial BCA, Hera FmHaryn menjelaskan syarikat bank tersebut sentiasa patuh kepada undang-undang yang dikuat kuasa di Indonesia.
“Berkaitan dengan kehadiran wakil BCA sebagai saksi dalam satu prosiding di Mahkamah Negeri Jakarta Selatan, ingin kami jelaskan bahawa BCA sebagai institusi perbankan tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.
"Termasuk kewajipan memenuhi permintaan data oleh pihak penguat kuasa undang-undang seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Republik Indonesia,” jelasnya.
Sebelum ini, pihak berkuasa di Indonesia menamakan Nikita sebagai suspek utama dalam kes membabitkan usahawan kosmetik dikenali sebagai Dr Reza Gladys.

Nikita berdepan hukuman penjara selama 20 tahun jika disabitkan kesalahan.
Reza membuat laporan polis terhadap Nikita pada 3 Disember 2024 selepas mendakwa pelakon itu memfitnah dan melakukan peras ugut terhadapnya di media sosial.
Jika disabitkan kesalahan, Nikita boleh dihukum penjara maksimum enam tahun.
Tidak hanya itu, Nikita turut berdepan dengan pertuduhan membabitkan penggubahan wang haram yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


