suria

Mr.Big Gegar Malaysia 14 Oktober

Mr. Big bakal mengegarkan Malaysia dengan konsert Mr. Big Live in Malaysia pada 14 Oktober depan.

KUMPULAN rock yang terkenal dengan lagu To Be With You, Mr. Big bakal mengadakan konsert di Malaysia menerusi Mr. Big Live in Malaysia 2017 pada 14 Oktober depan.

Konsert anjuran Plan 7 Production itu diadakan sebagai menyokong penerbitan album terbaharu mereka berjudul Defying Gravity yang dirakamkan hanya dalam masa enam hari!

Mr. Big Live in Malaysia bakal diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 8 malam.

Menerusi konsert itu nanti, peminat bakal disajikan dengan susunan lagu-lagu terbaik termasuk daripada album terbaharu.

Diasaskan pada tahun 1988, Mr. Big berjaya membawa mereka ke peringkat antarabangsa dan memperoleh jualan rekod platinum yang paling tinggi.

Ahli-ahli semasa yang juga ahli-ahli asal Mr. Big terdiri daripada Eric Martin sebagai vokalis, Billy Sheehan sebagai pemain bass, Paul Gilbert sebagai pemain gitar dan Pat Torpey sebagai pemain dram.

Kumpulan ini telah dibubarkan pada tahun 2002, namun disatukan semula pada tahun 2009 atas permintaan peminat dan mereka terus memperjuangkan lagu-lagu rock.

Setakat ini, Mr. Big telah menghasilkan sebanyak sembilan buah album studio.

Dengan menggabungkan gaya muzik “shredding” bersama harmoni vokal yang hebat, Mr. Big telah menggubah pelbagai lagu hit seperti Alive and Kicking dan Just Take My Heart yang merangkumi genre rock yang lain seperti balad, metal dan blues rock.

Tiket untuk menyaksikan Mr. Big Live in Malaysia 2017 berharga RM568 (VVIP), RM468 (VIP), RM328 (PS1) dan RM188 (PS2).

Semua kategori tiket adalah berdasarkan tempat duduk bernombor kecuali PS2 adalah tempat duduk bebas dan emua harga tiket termasuk 6% GST tetapi tidak termasuk yuran pemprosesan RM4.

Tiket boleh didapati melalui TicketCharge di www.ticketcharge.com.my atau hubungi +603 9222 8811 manakala tiket VVIP hanya boleh didapati secara eksklusif melalui pihak penganjur Plan 7 Production dengan menghubungi +6012 974 1011 atau melayari www.facebook.com/Plan7Production.

Mr. Big, To Be With You

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain