suria

Kerajaan Peruntuk RM13 Juta Untuk Usahawan Bumiputera

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM13 juta kepada usahawan bumiputera di Pulau Pinang tahun ini bagi menggalakkan penyertaan mereka dalam bidang keusahawanan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Dana Pembangunan Usahawan MARA itu akan diagihkan kepada seluruh usahawan bumiputera yang berkecimpung dalam pelbagai bidang keusahawanan.

"Kita sedar dan tahu ini merupakan salah satu hala tuju yang perlu kita bagi tumpuan untuk membolehkan bukan hanya mengupayakan bidang keusahawanan, meningkatkan pendapatan mereka bahkan juga kita yakin sampingan dari segi peluang yang akan diperoleh iaitu bidang pengangkutan, peluang pekerjaan.

"Jadi kita mahukan 'job creator', perlu kita tingkatkan supaya usahawan ini dapat dimajukan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama usahawan bumiputera Pulau Pinang di sini, Ahad.

Yang turut hadir Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang Muhamad Farid Saad.

Mohd Shafie yang juga anggota Parlimen Semporna berkata selain pemberian dana, kerajaan turut menyediakan program latihan kepada para usahawan dalam usaha melahirkan usahawan yang lebih berdaya maju dan kompetetif.

Katanya usahawan bumiputera di negeri ini perlu menggunakan peluang sedia ada dengan mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

"Usahawan Bumiputera di Pulau Pinang boleh menggunakan peluang yang ada ini untuk meneroka pasaran perniagaan mengikut minat masing-masing dan ia termasuk produk makanan, membaiki kenderaan, pakaian ataupun perkhidmatan," katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie turut menyampaikan Anugerah Usahawan Ikon Bumiputera Pulau Pinang 2014 kepada usahawan berjaya di Pulau Pinang. 

Pulau Pinang, Usahawan, Bumiputera

Artikel Lain