suria

Johor Corp Lancar Kapal Baharu

JOHOR BAHARU: Johor Corporation (Johor Corp) mengukuhkan lagi penyertaan dalam sektor minyak dan gas dengan melancarkan sebuah kapal penyimpanan pesisir baharu di Limbungan Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), di Pasir Gudang, Khamis.

Pengerusinya yang juga Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kapal FOIS Nautica Tembikai bernilai US$40 juta itu milik syarikat senaraian awam kumpulan Johor Corp, EA Technique (M) Berhad, dan berfungsi sebagai unit Pemunggahan Penyimpanan Terapung (FOS) untuk Vestigo Petroleum Sdn Bhd.

"Johor Corp terlibat dalam pelbagai bidang dan ini adalah sebahagian daripada rantaian nilainya.

"Kalau diikut, pelaburan ini besar tetapi jika kita bina hospital (kosnya) lagi mahal," katanya pada sidang media selepas pelancaran kapal itu, di sini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim serta Pengerusi EA Technique, Ahamad Mohamad.

Buat masa ini EA Technique mempunyai 33 kapal, kata Mohamed Khaled.

Sementara itu, Ahamad berkata FOIS Nautica yang berukuran 186 panjang dan mampu menyimpan lebih kurang 300,000 tong itu adalah kapal perdagangan antarabangsa yang diambil alih pada 11 Ogos tahun lepas dan diubahsuai menjadi unit FOS.

"Pengubahsuaian itu adalah berikutan Perjanjian Peruntukan Pajakan yang dimeterai pada 23 Julai tahun lepas, dengan membabitkan kontrak US$63 juta bagi tempoh enam tahun," katanya.

Ahamad berkata aktiviti pengubahsuaian termasuk membaik pulih, menaik taraf jentera dan kelengkapan utama serta memasang beberapa kelengkapan baharu, dilakukan oleh syarikat-syarikat kejuruteraan tempatan sebelum dinilai pejabat Bureau Veritas di Kuala Lumpur, Singapura dan Paris.

Kerja-kerja fabrikasi dan pemasangan pula dilakukan MMHE.

"Apabila dilancarkan hari ini, ia menandakan kapal itu sudah bermula berlayar dari limbungan MMHE ke lapangan kecil di pesisir perairan Semenanjung Malaysia," katanya.

Jcorp, Johor Corp

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain