suria

Eksport Minyak Sawit Ke Korea Selatan Diunjur Positif Tahun Ini

SEOUL: Eksport minyak sawit Malaysia dan produk berkaitannya ke Korea Selatan diunjur positif tahun ini berdasarkan trend peningkatan dalam penggunaan minyak dan lemak di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Himmat Singh berkata untuk itu, promosi pasaran yang lebih agresif untuk minyak sawit Malaysia dan produk berkaitannya akan ditingkatkan berdasarkan manfaat dan peluang minyak sawit dalam sektor makanan dan bukan makanan Korea Selatan.

"Walaupun mungkin ada minyak lain dan lemak yang digunakan di negara ini, penggunaan minyak sawit dan manfaatnya akan mendapat keutamaan di negara ini melalui usaha yang akan dilaksanakan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC)," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Pameran dan seminar Perdagangan Minyak Sawit (POTS) Malaysia-Korea Selatan di sini pada Selasa.

Angka terkini yang diberikan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa eksport minyak sawit, minyak isirung sawit, dedak isirung sawit, oleo kimia dan biodiesel ke Korea Selatan bernilai AS$491.2 juta pada  2014 berbanding US$434.8 juta pada 2013.

Tahun lepas, eksport minyak sawit Malaysia ke Korea Selatan meningkat kepada 374,091 tan metrik, bernilai US$281 juta berbanding 353,843 tan metrik bernilai AS$240.6 juta pada tahun sebelumnya.

Pengerusi MPOC, Datuk Lee Yeow Chor berkata, Korea Selatan mencatat penggunaan minyak dan lemak kira-kira 1.3 juta tan metrik pada 2014, meningkat empat peratus berbanding tahun sebelumnya, dan trend itu dijangka kekal pada masa akan datang.

"Industri minyak sawit Malaysia sudah lama menjadi peneraju industri, dengan pelbagai penemuan teknologi dalam sektor huluan dan hiliran," kata Lee.

Beliau juga berkata minyak sawit bukan sahaja digunakan sebagai ramuan dalam sektor pemprosesan makanan malah dalam sektor oleokimia.

Sektor penjagaan kesihatan dan kecantikan yang berkembang pesat juga boleh memanfaatkan produk sawit seperti tokotrienol sebagai Vitamin E dan fitonutrien lain yang boleh digunakan sebagai makanan tambahan atau ramuan dalam produk penjagaan kesihatan dan kosmetik," kata Lee.

POTS Malaysia-Korea Selatan selama dua hari mulai Selasa, dianjurkan bersama oleh MPOC dan MPOB dengan kerjasama Persatuan Sains Makanan dan Teknologi Korea. -- Bernama


Artikel Lain