suria

Petronas Gas Berhad Belanja RM1.75 Bilion Pada 2015

KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PGB) akan membelanjakan RM1.75 bilion tahun ini untuk Projek Terminal Gas Asli Cecair (LNG) dan Projek Unit Pemisahan Udara, kedua-duanya di Pengerang, Johor selain untuk perbelanjaan modal (capex) tahunan yang biasa.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Yusa' Hassan berkata dana itu membabitkan 35 peratus daripada peruntukan capex yang disediakan untuk tempoh lima tahun.

Beliau berkata Projek Terminal LNG dijangka beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2018 manakala Projek Unit Pemisahan Udara pada akhir 2018.

"Ini banyak bergantung kepada kemajuan projek penapisan dan komponen yang lain di Kompleks Bersepadu Pengerang," kata Yusa' kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Khamis.

Projek Terminal LNG akan mengandungi unit pengegasan LNG dan dua unit 200,000 meter persegi (m) tangki penyimpanan LNG dengan kapasiti penghantaran 3.5 juta tan setahun (MTPA) gas asli.

Ia turut dilengkapi kemudahan memunggah untuk eksport.

Projek Unit Pemisahan Udara akan membekalkan gas industri kepada unit yang beroperasi di Kompleks Bersepadu Pengerang.

Yusa' berkata prospek pertumbuhan Petronas Gas dalam tempoh terdekat adalah menerusi dua projek ini.

"Kami akan terus mengenal pasti peluang untuk terlibat dalam pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang dalam bidang yang bersesuaian dengan kompetensi teras kami," katanya.

Mengenai unjuran masa depan, Yusa' berkata PGB yakin mencatat prestasi kewangan yang kukuh hasil asas perolehan yang kukuh daripada Perjanjian Pemprosesan Gas dan Perjanjian Pengangkutan Gas.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2014, PGB mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.34 bilion, meningkat daripada RM1.89 bilion pada tahun kewangan sebelumnya manakala hasil meningkat kepada RM4.39 bilion berbanding RM3.89 bilion. 

Petronas, LNG

Artikel Sebelum

Artikel Lain