suria

Empat Usahawan Perda Tembusi Pasaran China

BUTTERWORTH: Empat syarikat Bumiputera bimbingan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) berjaya menembusi pasaran China dengan masing-masing melibatkan nilai jualan RM500,000 setahun.

Syarikat terbabit ialah Dira Foodstuff Sdn Bhd yang mengeluarkan biskut dan kuih tradisional; Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd (pengeluar produk minuman berasaskan coklat dan koko); Cemara Food Industries Sdn Bhd (produk berasaskan buah-buahan kering); dan AZ-One Industry (M) Sdn Bhd (pengeluar minuman kopi berperisa buah-buahan tempatan).

Penolong Pengurus Kanan (Pembangunan Usahawan) Perda, Ahmad Shukri Nordin berkata, kejayaan itu hasil kerjasama dengan sebuah syarikat pengedar di China, Duo Dingding (HK) Trading Co. Limited (Duo Dingding).

"Melalui perjanjian usaha sama ini, kami percaya empat syarikat ini bakal meneroka pasaran yang lebih luas apabila produk mereka mula dipasarkan di China yang mempunyai jumlah pengguna yang ramai.

"Perda juga percaya kerjasama dengan syarikat Duo Dingding ini akan membuka jalan kepada lebih banyak syarikat bumiputera di negara ini untuk menembusi pasaran negara berkenaan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Pengurus Besar Duo Dingding, Wang Fanghua dan empat wakil syarikat bumiputera itu.

Sementara itu, Wang berkata, pihaknya yakin dapat memasarkan kesemua produk keluaran syarikat bumiputera tersebut memandangkan produk keluaran Malaysia mendapat permintaan yang tinggi di negara berkenaan.

"Kami mempunyai 1,400 syarikat yang menjadi ejen pengedar pelbagai produk yang dibawa masuk ke China menerusi syarikat kami dan kami juga mempunyai pasaran yang luas termasuklah di rangkaian-rangkaian pasar raya besar, pemborong dan peruncit di China.

"Jadi kami yakin dengan pelbagai produk berkualiti yang dihasilkan oleh usahawan dari Malaysia, ia akan mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna di negara kami terutama apabila ia turut mempunyai status halal," katanya.

Beliau berkata, perjanjian itu merangkumi pemasaran pelbagai produk empat syarikat berkenaan selama tiga tahun bermula tahun ini.

Pengerusi AZ-One Industry, Abdul Aziz Hassan pula berkata, peluang eksport ke China itu bukan sahaja dapat menambah jualan syarikat tetapi juga pendapatan petani yang membekalkan buah-buahan kepada mereka.


Perda, usahawan, China

Artikel Lain