suria

Malaysia Berhasrat Adakan Lebih Banyak FTA - Hamim Samuri

Hamim Samuri
TANGKAK: Malaysia akan mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan lebih banyak negara bagi memastikan pengeksport di negara ini terus mendapat manfaat.

 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri berkata, langkah itu perlu susulan penamatan kemudahan Skim Keutamaan Am (GSP) mulai tahun depan.

"Di bawah GSP, pengeksport Malaysia menikmati pelbagai kemudahan termasuk potongan cukai antara lima hingga 20 peratus. Mulai tahun depan, kemudahan itu akan ditarik balik sepenuhnya," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Menurut Hamim, negara-negara lain sudah menamatkan kemudahan GSP kepada Malaysia kecuali Kesatuan Eropah dan Kanada yang akan berbuat demikian tahun depan.

Katanya, setakat ini Malaysia sudah menandatangani FTA dua hala dengan beberapa buah negara antaranya Jepun, Australia dan yang terkini Turki.

"Melalui perjanjian FTA dengan negara berkenaan, pengeksport Malaysia mendapat banyak kemudahan termasuk pengurangan tarif cukai kastam," katanya.

Terdahulu Hamim yang juga Anggota Parlimen Ledang melancarkan Program Khidmat Bakti Siswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Festival Homestay Sagil di Sagil Parit 3 di sini.

Sebanyak 109 mahasiswa termasuk 32 pelajar Poland, Mexico dan Jepun menyertai program tiga hari itu yang menyaksikan mereka tinggal dengan keluarga angkat yang terlibat dalam program inap desa.


FTA, Skim Keutamaan Am

Artikel Lain