suria

Celcom Axiata Rangkul 2 Anugerah Hari Pekerja 2014

MELAKA: Syarikat telekomunikasi, Celcom Axiata Berhad memenangi Anugerah Perdana Menteri Untuk Kecemerlangan Sumber Manusia 2014 (sektor swasta) dan Anugerah Majikan 1Malaysia (GLC) 2014 bersempena sambutan Hari Pekerja yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Sabtu.


Anugerah Perdana Menteri Untuk Kecemerlangan Sumber Manusia 2014 merupakan anugerah paling berprestij dipertandingkan daripada lapan kategori yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan golongan pekerja serta majikan kepada pembangunan negara.

Bagi kategori itu, Celcom Axiata menerima wang tunai berjumlah RM50,000, piala dan sijil selain wang tunai RM10,000, piala dan sijil bagi kategori Anugerah Majikan 1Malaysia 2014 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Celcom menerima anugerah tersebut berdasarkan kecemerlangan syarikat itu berteraskan kepada kekuatan sumber manusianya yang memperuntukkan perbelanjaan melebihi RM10 juta pada 2013 untuk tujuan latihan dan latihan semula kesemua kakitangannya.

Selain itu, syarikat terbabit banyak terlibat dengan program kesedaran termasuk 'Celcom Eco Certified'; zon bebas rokok; pencetakan mesra alam dan hari kitar semula.

"Anugerah ini akan menjadi pemangkin kepada kakitangan Celcom untuk terus memacu kejayaan dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan selain menjadi sebuah syarikat telekomunikasi yang cemerlang di masa hadapan," kata Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikat terbabit Mazri Abdul Rahim.

Selain itu, Anugerah Tokoh Pekerja Mahir Negara dimenangi Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin, manakala Anugerah Kesatuan Sekerja Harmoni 1Malaysia bagi sektor awam dan swasta masing-masing dimenangi Sarawak Medical Services Union dan Kesatuan Pekerja-pekerja Perdagangan Sabah.

Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara 2014 (kumpulan bukan eksekutif) Norisah Bahrom, 39, berkata kecacatan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan dalam hidup walaupun pergerakannya terbatas dan bergantung kepada kerusi roda sejak mengalami masalah tulang belakang ketika berusia 15 tahun.

"Saya berasa amat bersyukur dengan penganugerahan ini yang juga membuktikan kepada masyarakat luar bahawa orang kelainan upaya seperti saya mampu bekerja dan berjaya tanpa simpati orang," kata Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu.

Dalam pada itu, Anugerah Tokoh Pekerja Negara 2014 (kumpulan eksekutif) dimenangi Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kaum India Malaysia Pulau Pinang R. Sethupandian manakala kategori kumpulan OKU dimenangi pensyarah bidang psikologi Fakulti Sains Sosial Gunaan Open University Malaysia Dr Wong Huey Siew.


Artikel Lain