suria

Minyak Masak Century Tembusi Pasaran Pakistan

NEW DELHI: Minyak masak Pan Century Edible Oils Sdn Bhd, di bawah jenama "Century" memasuki pasaran Pakistan yang menguntungkan.


Buat kali pertama, minyak masak sayuran sawit 100 peratus dihasilkan dan dibungkus di Malaysia boleh didapati di Pakistan, kata Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Pakistan, Abu Bakar Mamat.

Minyak masak Century boleh didapati dalam 25 liter dan 10 liter bagi kegunaan komersil manakala satu dan lima liter bagi pengguna isi rumah, katanya kepada Bernama ketika dihubungi Jumaat.

Pan Century merupakan syarikat milik Kumpulan IOI.

Diimport oleh syarikat tempatan, Khalil Pvt Ltd, minyak masak itu akan mula dipasarkan di Karachi, pusat kewangan Pakistan.

"Kemudian, ia akan memasuki Lahore, dan juga Islamabad," kata Abu Bakar.

"Konsulat akan terus memudahkan usaha syarikat Malaysia mengembangkan kehadiran jenama Malaysia di Pakistan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Serantau Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Karachi Fairuz Hidzir berkata, pengguna dijamin olein sawit yang berkualiti tinggi berikutan peraturan dan keperluan yang ketat telah dikenakan oleh industri minyak sawit Malaysia supaya mengeluarkan produk berkualiti tinggi.

Pakistan kekal sebagai satu daripada destinasi eksport terbesar minyak sawit Malaysia.

Pada 2013, jumlah eksport produk minyak sawit dan minyak sawit Malaysia dicatatkan sebanyak 1.5 juta tan bernilai RM3.62 bilion. 


Century, minyak masak, Pakistan

Artikel Lain