suria

Petronas Lulus Keputusan Pelaburan Akhir Untuk Kompleks Bersepadu Pengerang

Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Petronas telah meluluskan Keputusan Pelaburan Akhir (KPA) untuk pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang (KBP) di Johor. 

KPA yang diluluskan pada Khamis merupakan peristiwa penting dalam perkembangan projek KBP, yang mengandungi Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan dan Petrokimia (RAPID) berskala dunia dan lain-lain kemudahan berkaitan.  

Kos RAPID berkenaan dianggarkan AS$16 bilion (AS$1=RM3.28) manakala kemudahan berkaitan akan membabitkan pelaburan AS$11 bilion. 

"KPA adalah pintu peringkat kritikal dalam proses membuat keputusan kami," kata Presiden Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dalam satu kenyataan pada Khamis.

Petronas, katanya, telah menjalankan kajian semula secara terperinci ke atas projek berkenaan, termasuk penilaian bebas pihak ketiga, untuk memastikan ia memenuhi kriteria pihaknya untuk keuntungan jangka panjang dan pertumbuhan mampan.

"Keputusan ini sejajar dengan komitmen kami kepada disiplin modal dan dengan kelulusan Lembaga Pengarah itu, kami akan membangunkan projek terbabit seperti dirancang," katanya.

Shamsul Azhar berkata, Petronas akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan serta Johor bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

"Dalam tempoh yang agak pendek, kami telah berjaya melakukan banyak kerja dalam membina asas kukuh untuk bergerak ke depan dengan yakin untuk melaksanakan pelan kami," katanya.

KBP dijadual memulakan pembinaan sebaik sahaja kerajaan negeri menyerahkan tapak projek kepada Petronas.

Projek berkenaan akan memperkukuhkan lagi kedudukan Petronas sebagai pemain utama dalam pasaran bahan kimia Asia, memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan utama bahan kimia khusus dan berbeza serta menguasai sektor automotif, farmaseutikal dan produk pengguna yang semakin meningkat. 

Di pasaran domestik, KBP akan dapat memenuhi permintaan yang makin bertambah terhadap produk petroleum dan bahan bakar spesifikasi Euro 4M dan Euro 5.

Dibangunkan di tapak seluas 2,521.8 hektar, KBP akan mempunyai kilang penapisan 300,000 tong sehari dan sebuah kompleks petrokimia dengan gabungan kapasiti pengeluaran 7.7 juta tan metrik setahun pelbagai gred produk, termasuk produk bahan kimia khusus dan berbeza seperti getah tiruan dan polimer bergred tinggi.

Projek itu juga akan menyaksikan pembanguan pelbagai kemudahan berkaitan seperti kemudahan bekalan air mentah, loji penjanaan bersama tenaga serta pelbagai kemudahan sampingan lain.

Di kemuncak pembinaannya, projek KBP dijangka mempunyai kira-kira 70,000 tenaga kerja dengan pelbagai kemahiran dan disiplin. 

Ketika operasi, projek berkenaan memerlukan lebih 4,000 pekerja. KBP adalah sebahagian daripada projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (KPBP) yang dicadang dan dipromosi kerajaan Johor.

Dengan lokasi strategik di satu daripada laluan perkapalan tersibuk dunia dan berhampiran hab perdagangan antarabangsa, KPBP berkedudukan baik untuk muncul sebagai sebuah lagi hab industri gas dan minyak hiliran serantau.

Artikel Lain