suria

Potret Sendiri 3D Satu Realiti Di Red Carpet@I-City Akhir Mei Ini

Lim Kim Hong (kanan) di hadapan Red Carpet@i-City.

GUANGZHOU: Dengan teknologi canggih 3D, kini hanya memerlukan masa memperaga dan bergaya lebih kurang 10 minit untuk menjadikan potret sendiri 3D satu realiti di Red Carpet@i-City pada akhir Mei ini.

Dengan hanya empat proses -- mengimbas, memperaga, animasi dan visualisasi - pengunjung boleh membuat miniatur atau 'Mini-Me' mereka sendiri sebagai tanda ingatan atau cendera hati. 

3D Mini-Me, dengan ukuran tinggi 25cm hingga 35cm, boleh menjadi satu perkara biasa di majlis perkahwinan sebagai hadiah kepada rakan atau keluarga. 

I-Berhad dan Guangdong Great Silence Investment Management Co.Ltd, anak syarikat Zhongshan City Elephant Sculpture Art Co Ltd (ZCESA), pada Khamis memeterai perjanjian untuk memperkenalkan teknologi imejan 3D canggih yang membolehkan pembinaan model tiga dimensi digital di muzium lilin interaktif pertama Malaysia, Red Carpet@i-City. 

Kerjasama strategik itu membuka laluan bagi Red Carpet@i-City untuk membeli dan membawakan teknologi imejan 3D yang dimiliki oleh Guangdong Great Silence Investment Management ke Malaysia.

Selain daya tarikan 3D, kerjasama strategik itu juga melibatkan pembelian barang pameran lilin baharu dengan ciri-ciri interaktif dipertingkatkan seperti suara, pergerakan, kesan bunyi dan latar teater.

Tan Sri Lim Kim Hong, Pengerusi Eksekutif I-Berhad, pemaju induk i-City, memberi tahu pemberita Malaysia bahawa teknologi ini akan membolehkan pelajar universiti membuka minda mereka kepada lebih banyak inovasi. 

"Bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, pengunjung asing boleh merasai pengalaman dengan teknologi menarik ini," katanya. 

Sementara itu, Liu Zhen, Presiden dan Pengerusi ZCESA berkata ini merupakan fasa pertama kerjasama dengan i-City berkaitan teknologi miniatur 3D, sambil menambah beliau berharap dapat bekerjasama lagi dengan i-City.

Red Carpet@i-City, yang menelan kos RM25 juta diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai muzium lilin pertama dan terbesar negara. 

Ia juga merupakan antara daya tarikan utama Tahun Melawat Malaysia 2014.

Artikel Lain