Lori dipercayai mengalami masalah stereng sebelum terbabas melanggar motosikal mangsa. -Foto Polis Rompin
SEORANG wanita maut selepas motosikal ditunggang bersama anak lelakinya dirempuh sebuah lori dipercayai hilang kawalan di Kilometer 64, Jalan Ibam-Rompin berhampiran pencawang elektrik Kampung Kundang, Rompin, Pahang pada Rabu.Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa, Normala Siti, 31, dari RPS Kedaik, Kuala Rompin disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah. Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, anak mangsa, Cheau Ket Daren yang berusia enam tahun mengalami kecederaan parah dan turut menerima rawatan di hospital sama.Bagaimanapun, pemandu lori berusia 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan susulan kemalangan tersebut."Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika lori tipper jenis Hohan dalam perjalanan dari arah Felda Selendang menghala ke Muadzam Shah manakala mangsa yang menunggang motosikal jenis Y15ZR dari arah bertentangan."Ketika tiba di lokasi kejadian, lori terbabit dipercayai mengalami kerosakan apabila enjinnya mati secara tiba-tiba," katanya.Menurut Sharif, masalah pada stereng dipercayai menyebabkan lori itu gagal dikawal sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh motosikal dinaiki mangsa dan anaknya.Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius sebelum dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah untuk mendapatkan rawatan lanjut.Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Dalam pada itu, Sharif meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 017-9249261 atau mana-mana balai polis berhampiran.