suria

Keluarga bakal mentua percaya kahwin bulan raya boleh bawa sial, bantah sebarang majlis - “Nanti jodoh tak panjang, cepat mati”

Ramai memilih bulan Syawal untuk melangsungkan majlis perkahwinan. -Gambar hiasan AI

AMALAN mengadakan majlis perkahwinan pada bulan Syawal menjadi antara pilihan ramai kerana masih dalam suasana Aidilfitri, selain memudahkan ahli keluarga berkumpul.

Namun, berbeza pula kisah seorang wanita ini apabila perancangannya untuk mendirikan rumah tangga tidak dipersetujui serta mendapat tentangan daripada keluarga bakal mentua.

Menerusi luahan di media sosial, dia mengakui berasa sedih dan tertekan apabila keluarga teman lelakinya tidak bersetuju memilih tarikh perkahwinan antara bulan Ramadan hingga Aidiladha.

"Aku sedih, marah, geram sampai nak pecah kepala. Famili boyfriend tak nak pilih tarikh kahwin antara puasa sampai Hari Raya Haji. Katanya nanti jodoh tak panjang dan cepat mati.

Persediaan awal sebelum mengadakan majlis perkahwinan penting bagi setiap pasangan. -Gambar hiasan AI

"Aku geram tengok orang lain elok je kahwin masa hari raya. Ya Allah, geram tapi kena sabar. Aku ni tak ada bapa. Apa-apa semua harapkan pakcik-pakcik aku je," luahnya di Threads.

Menurut wanita itu lagi, teman lelakinya juga sudah menyuarakan perkara tersebut kepada keluarga namun masih tidak mendapat persetujuan terutama daripada datuknya.

"Aku sudah buat tempahan dewan untuk adakan majlis. Dewan tu pun sudah ditempah mengikut tarikh antara bulan puasa dan raya haji tapi mereka tak nak.

"Tapi tempahan tu untuk majlis sebelah aku jadi biarlah aku pilih tarikh kahwin aku. Boyfriend aku pun sudah cakap dekat famili dia. Tapi mereka tak nak juga.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas mufti hurai kepercayaan tak elok nikah bulan Syawal, lagi teruk dikaitkan dengan sial

ARTIKEL BERKAITAN: Syawal tiba lagi, jodoh masih tak muncul... Jangan stres, ini jawapan jika ditanya ‘bila nak kahwin?’

"Lagi-lagi datuk dia. Meletihkan... patut tak aku buat keras je? Nanti mereka tak suka aku pula lepas sudah berkahwin," jelasnya lagi dalam hantaran tersebut.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mempersoalkan kepercayaan keluarga teman lelakinya.

"Kalau keluarga bakal mentua sudah fikir menjurus ke arah khurafat, cuba fikir betul ke nak hadap famili macam ini seumur hidup.

"Nak hadap famili tu seumur hidup. Elok la juga mereka tunjuk (perangai) awal. Sudah boleh batalkan tempahan semua dewan-dewan tu dan cari calon baharu," komen beberapa netizen.

  • Keluarga bakal mentua tolak tarikh kahwin, percaya jodoh tak panjang.
  • Wanita sudah tempah dewan, buntu nak buat keputusan.
  • Teman lelaki sudah pujuk, keluarga tetap berkeras.
  • Netizen anggap kepercayaan itu khurafat.
  • Kahwin bulan Syawal sebenarnya sunnah, tiada larangan.

Dalam pada itu, menerusi laman web Jabatab Mufti Wilayah Persekutuan, dinyatakan bahawa berkahwin pada bulan Syawal merupakan satu sunnah dalam Islam dengan merujuk kepada pernikahan Nabi Muhammad SAW bersama Saidatina Aisyah RA.

Hukum berkahwin pada bulan Syawal adalah harus dan boleh menjadi sunnah sekiranya diniatkan untuk mengambil keberkatan daripada peristiwa tersebut.

Bagaimanapun, Islam tidak menetapkan bulan tertentu sebagai wajib untuk berkahwin dan umatnya bebas memilih waktu yang sesuai selagi tidak bercanggah dengan syarak.

Artikel Lain