suria

Dua tahun ‘terkurung’ derita demam kepialu, pemuda syukur Aidilfitri 2026 tanpa ‘stoma bag’... Dah boleh jamah rendang air tangan ayah!

Keadaan kesihatan Safwan lebih baik selepas bebas jangkitan tifoid atau demam kepialu.

SETELAH dua tahun menderita jangkitan tifoid atau demam kepialu sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini memberi 1,001 makna buat Safwan Ishak.

Lebih istimewa, anak muda 30-an ini bukan sahaja dapat meraikan lebaran 1 Syawal bersama keluarga malah sudah boleh menikmati menu kegemarannya iaitu rendang daging.

"Raya tahun ni sedikit meriah bagi saya memandangkan sudah dua tahun tidak dapat meraikan Aidilfitri dengan 'sempurna' disebabkan masalah kesihatan.

"Ayah saya masak rendang daging, cuma saya perlu berhati-hati dalam memilih makanan kerana tidak boleh masakan terlalu pedas mahupun masam.

Safwan (duduk belakang, tengah) bersama seluruh ahli keluarganya pada lebaran 2025.

Safwan (duduk belakang, tengah) bersama seluruh ahli keluarganya pada lebaran tahun lalu.

"Kakak ipar pun ada belikan biskut raya kegemaran saya, mama carey," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Tambahnya, persiapan raya juga lebih meriah kerana dia berpeluang berkongsi rezeki bersama keluarga setelah kembali bekerja.

"Alhamdulillah, dapat buat persiapan raya dan kali ini lebih sikit sebab sudah kembali bekerja.

"Dapat berkongsi rezeki beli baju raya untuk ibu dan ayah, kuih raya dan sebagainya," tambahnya. 

  • Safwan hidap tifoid dua tahun, raya kali ini paling bermakna.
  • Dapat beraya sihat bersama keluarga, ayah masak rendang kegemaran.
  • Kembali bekerja, sempat buat persiapan dan kongsi rezeki.
  • Pernah dimasukkan hospital dan raya 2025 dengan stoma bag.
  • Kini pulih, bakal jadi pensyarah dan rancang bercuti dalam negara.

Menurut anak kelahiran Johor ini, 2026 juga memberi sinar baharu apabila dia bakal memulakan kerjaya sebagai pensyarah di salah sebuah universiti swasta selepas raya nanti.

Kejayaan itu membuatkan dia bersyukur dengan 'kenangan pahit' dilalui pada sambutan Aidilfitri pada 2024.

Mengimbau kenangan, sambutan 1 Syawal ketika itu bagai tidak dirasai disebabkan jangkitan virus salmonella dialaminya susulan makan salah satu juadah tercemar yang dibeli dari bazar Ramadan.

Katanya disebabkan keracunan makanan, dia dimasukkan ke hospital pada hari raya keempat dan menetap di wad selama enam bulan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Demam menggigil hingga usus bocor, pemuda terpaksa pakai ‘beg najis’ lebih 6 bulan akibat tifoid... Dijangkiti virus salmonella lepas ke bazar Ramadan

"Pengalaman raya 2024 tu, kalau boleh tak nak ingat sebab raya keempat pun dah warded

"Enam bulan kemudian, baru tahu sakit apa. Jadi 2024 tu pengalaman yang menakutkan. 

"Memang tak raya, keluarga pun tak beraya," kongsinya yang turut kehilangan punca pendapatan disebabkan masalah kesihatan dialami.

Menurutnya, meskipun keadaan kesihatan semakin pulih pada tahun lalu, namun Aidilfitri 2025 terpaksa diraikan dengan 'stoma bag' (beg najis) yang dipasang pada bahagian bawah kanan perutnya.

Safwan terpaksa memakai stoma disebabkan jangkitan tifoid yang dialami.

Safwan terpaksa memakai beg stoma disebabkan jangkitan tifoid yang dialami.

"Tapi, alhamdulillah lega dibenarkan discharge selepas enam bulan duduk wad. 

"Walaupun memakai stoma bag, siapa tak nak beraya di rumah bersama keluarga," ujarnya memberitahu beg najis itu ditanggalkan pada Jun tahun lalu. 

Dalam pada itu, Safwan berkata, dia tidak pernah bernazar namun sempat menyelit janji untuk menghadiahkan diri sendiri 'percutian' dalam negara apabila sembuh.

"Saya tak ada buat apa-apa nazar tapi saya ada janji untuk reward diri sendiri, berjalan-jalan sekitar Malaysia dahulu," luahnya penuh kesyukuran.

Artikel Lain