suria

Berat ujian Ramadan kali ini... Gadis buntu cari RM2,500 nak bayar ikat jamin ibu - “Dia nak beraya dengan kami”

Seorang anak sulung biasanya memikul tanggungjawab berat berbanding adik beradik lain. -Gambar hiasan AI

KETIKA umat Islam sedang bersiap sedia menyambut ketibaan Syawal, seorang gadis menerima ujian berat apabila ibunya ditahan polis pada awal Mac lalu.

Lebih menambah beban, anak sulung berusia 20 tahun itu buntu untuk mendapatkan wang berjumlah RM2,500 dalam masa singkat bagi ikat jamin ibunya.

Dia yang bekerja sebagai penghantar barang berkongsi tentang nasib yang menimpa mereka sekeluarga di Thread.

"Sekarang saya cuma ada mak saja. Saya tak tahu nak cari duit jamin mak dekat mana dalam masa terdekat ni. Saya tak ada sesiapa dah. Mesti orang fikir agar biar je la (tak perlu cari duit ikat jamin) supaya jadi pengajaran untuk mak.

"Tapi macam mana adik-adik saya nak hadap benda ni dekat sekolah? Macam mana saya nak jawab dekat orang apabila mereka tanya fasal mak masa di hari raya nanti," katanya.

Menguruskan hal keluarga tanpa bantuan ibu bapa bukan satu tugasan mudah bagi seorang anak. -Gambar hiasan AI

Menurutnya lagi, dia memahami kesilapan yang dilakukan ibunya, namun percaya wanita itu terpaksa bertindak sedemikian demi memastikan tujuh orang anaknya dapat makan selepas ketiadaan suami.

"Saya tahu mak buat semua ni sebab itu je cara boleh bagi anak beranak makan lepas bapa kami tak ada. Saya tak boleh salahkan mak lepas apa yang dia sudah buat untuk keluarga kami," ujarnya tanpa menyatakan jenis kesalahan ibunya hingga wanita itu ditangkap.

Tambah gadis itu lagi, dia bukan berniat meraih simpati atau meminta sumbangan namun mengakui semakin tertekan apabila terpaksa memikul tanggungjawab seorang diri.

"Saya boleh tunjuk bukti sebab saya memang naik turun mahkamah. Memang betul mak saya ditahan dan perlu dijamin sebanyak RM2,500.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki bakar mercun di MRR2 undang kemarahan, netizen seru polis tangkap segera - “Dia nak beraya dalam tirai besi!”

ARTIKEL BERKAITAN: Rintihan penghuni tirai besi menjelang Syawal, “Sejak masuk penjara, ayah tak pernah datang jenguk...”

"Jumlah denda itu sebenarnya sudah dikurangkan selepas saya minta bantuan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk buat rayuan," ujarnya.

Luahan tersebut turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang memberikan pandangan berbeza termasuklah menasihati agar dia tidak membayar ikat jamin ibunya.

"Tak payah jamin la. Biar je mak kau berehat dekat dalam sana. Kau hidup je baik-baik. Sebulan sekali pergi la jenguk dia.

  • Wanita luah kesusahan selepas ibu ditahan, perlu wang jaminan RM2,500.
  • Bekerja sebagai rider demi menyara enam adik selepas bapa meninggal dunia.
  • Mengaku buntu memikirkan masa depan keluarga menjelang Aidilfitri.
  • Ada netizen nasihat supaya biarkan ibu menjalani hukuman di dalam penjara.
  • Wanita tetap mahu bantu ibu demi berkumpul bersama keluarga pada hari raya.

"Biarkan dia dekat dalam. Dekat penjara cukup makan minum. Kau usahakan untuk adik-adik kau. Lebih utama, hari raya nanti pergi la melawat mak dekat sana," komen beberapa netizen.

Namun gadis itu menjelaskan dia sebenarnya mahu menyempurnakan permintaan ibu yang berharap dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

"Memang saya nak bagi mak rehat dekat dalam penjara je tapi masa naik mahkamah, dia tengok saya dan menangis. Dia harap saya tolong selesaikan ikat jamin tu.

"Dia cakap nak beraya dengan kami sekeluarga. Adik saya enam orang dekat bawah tanggungan. Macam mana saya nak tanggung semua sendiri," katanya.

Artikel Lain