TINDAKAN ibu bapa memaklumkan sebab ketidakhadiran anak ke sekolah melalui kumpulan WhatsApp kelas kini bagaikan sudah menjadi perkara biasa.
Amalan ini bukan sahaja membantu guru memantau kehadiran pelajar, malah mencerminkan sikap tanggungjawab serta kejujuran ibu bapa dalam urusan pendidikan anak-anak.
Namun, seorang guru mengingatkan agar ibu bapa tidak terlalu menuruti kehendak anak sehingga sanggup membiarkan mereka ponteng sekolah tanpa sebab munasabah.
Grup WhatsApp bertujuan memudahkan ibu bapa mengetahui perkembangan anak di sekolah. -Gambar hiasan
"Bila diambil dari aspek positif, ia satu pujian kepada ibu bapa yang jujur memberitahu sebab anak tidak hadir. Jauh lebih baik daripada mengatakan anak sakit tapi hakikatnya tidak.
"Namun, pesanan saya kepada semua termasuk kepada diri sendiri, jangan sampai bertuankan anak. Kitalah raja dan permaisuri dalam istana rumah tangga kita," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak faham erti miskin... Guru tegur ibu bapa murid tiada internet, mesej tak sampai - "Tak baca WhatsApp grup ke?"
ARTIKEL BERKAITAN: Guru letak 18 foto murid tak siap kerja sekolah dalam grup WhatsApp! Mak ayah 'sentap' terus lapor SisPAA, anggap jatuh maruah anak
Guru lelaki tersebut memaklumkan, ketegasan ibu bapa terhadap anak-anak amat penting terutama dalam hal berkaitan pendidikan.
"Janganlah diturut kehendak anak yang boleh merosakkan. Bertegas sikit dalam hal pendidikan anak. Ya, mereka akan memberontak dan menangis.
"Tapi biar mereka menangis sekarang daripada kita yang terpaksa menangis di kemudian hari bila anak menjadi 'raja' dalam rumah," katanya.
- Guru puji ibu bapa yang jujur memaklumkan ketidakhadiran anak ke sekolah.
- Dia ingatkan agar tidak terlalu menuruti kehendak anak hingga ponteng sekolah.
- Tegasnya, ibu bapa perlu berperanan sebagai pemimpin dalam rumah tangga.
- Katanya, biar anak menangis sekarang daripada menyesal kemudian hari.
- Perkongsian itu tular selepas netizen kongsi alasan lucu ketidakhadiran pelajar.
Dia turut berkongsi tangkap layar alasan yang diberikan oleh seorang ibu yang memaklumkan tentang ketidakhadiran anaknya pada Jumaat lalu.
"Saya dah kejut suruh pergi sekolah, dia tak nak bangun," tulis ibu berkenaan.
Susulan pemaklumannya, guru itu memaklumkan dia akan menziarahi murid tersebut bagi bertanya khabar.
Reaksi warga maya
Perkongsian itu menarik perhatian netizen yang memaklumkan terdapat pelbagai alasan tidak munasabah pernah diberikan ibu bapa lain di dalam grup WhatsApp.
"Grup kelas anak aku, stoking hilang sebelah. Terus tersembur kopi aku pagi-pagi bila baca.
"Pernah terbaca dalam grup, alasannya lenguh betis sebab berdiri lama atas kerusi.
"Kelas anak saya setakat ni paling 'rare' alasan anak tak semangat ke sekolah," antara komen netizen.


