SEORANG wanita meluahkan rasa kecewa selepas dimaki hamun oleh suaminya hanya kerana dia enggan membenarkan lelaki itu menggunakan MyKad miliknya untuk mendapatkan subsidi petrol bersasar BUDI95.
Menurutnya, sejak awal bulan lalu, suaminya kerap mengajaknya ke stesen minyak dengan alasan mahu membeli barang keperluan.
Sedangkan selama ini katanya, suaminya itu tidak pernah mengajaknya keluar untuk berbelanja.
MyKad diperlukan untuk menikmati subsidi petrol bersasar. -Gambar hiasan
"Rupa-rupanya dia nak guna MyKad aku nak beli petrol untuk isi kat tong bagi kegunaan motosikal dia dan anak aku.
"Jumlah dia bayar hampir RM100, yang masuk kat tangki kereta aku cuma RM30, selebihnya masuk tong," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Tolong bayar guna IC bro” - Pemandu Civic hulur RM50, tebal muka minta guna kuota BUDI95... Rupanya tiada lesen memandu
ARTIKEL BERKAITAN: “Patut la ramai bash BUDI95” - Cikgu sampaikan rungutan pelajar, geram kena isi minyak motosikal tanpa subsidi gara-gara tiada lesen
Jelas wanita itu lagi, pada peringkat awal sejak BUDI95 diperkenalkan, dia tidak keberatan suami menggunakan MyKad miliknya untuk membeli petrol.
"Aku ingat satu tong tu tahan dua minggu sebab untuk motosikal, ni minggu lepas dia minta nak isi lagi dua tong. Aku tak bagi la sebab kereta seminggu kena dua kali isi.
"Aku pelik kenapa guna untuk motosikal lebih banyak dari kereta, padahal aku lagi jalan jauh, kena hantar dan ambil anak sekolah lagi sebelum dan selepas kerja," katanya.
- Wanita kecewa dimaki suami kerana enggan benarkan MyKad digunakan untuk beli petrol subsidi.
- Suami isi petrol dalam tong nilai hampir RM100 guna kuota subsidi isteri.
- Isteri pelik motosikal guna minyak lebih banyak daripada keretanya sendiri.
- Pertengkaran berlaku hingga suami baling MyKad isteri sambil memaki dirinya kedekut.
- Netizen anggap isu minyak terlalu remeh untuk digaduhkan.
Tambahnya, disebabkan dia enggan memberikan MyKad, suami mula naik angin dan memarahinya.
"Bila aku tak bagi dia marah, maki hamun cakap aku kedekut. Dia campak MyKad aku. Aku pun risau bila isi kat tong macam tu nanti tak pasal-pasal aku yang kena.
"Itu la ada lesen memandu tak nak renew lepas tu sibuk nak hak (kuota) aku. Hak aku dalam MyKasih yang dia dapat tiap bulan tu pun aku tak pernah minta," katanya.
Jelasnya dia sendiri tidak pasti tujuan suaminya mengisi petrol dalam jumlah yang banyak walaupun memberi alasan ia untuk digunakan pada motosikal.
Reaksi warga maya
Sementara itu, netizen menasihati wanita itu agar tidak memanjangkan isu berkenaan kerana dianggap perkara remeh.
"Pasal minyak subsidi pun nak bertekak, laki kau dah bayar macam-macam tu, kenapa kau tak tanya kerajaan je? Pasal minyak petrol pun laki bini siap gaduh.
"Subsidi BUDI95 punya hal pun nak bergaduh laki bini. Itu la sebab aku paling takut nak guna hak bini walaupun dia bagi," antara komen netizen.
Untuk rekod, BUDI95 diperkenal pada Oktober lepas dengan setiap rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu kompeten yang sah diberikan subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan.
Penggunaan yang berlebihan daripada jumlah yang diperuntukkan membuatkan seseorang itu perlu membayar pada harga biasa iaitu RM2.60 seliter.


