SEORANG lelaki berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika bercuti bersama keluarganya di sebuah tapak glamping.
Menurutnya, kawasan itu sunyi dan hanya mereka sekeluarga yang menginap di situ kerana semua staf tapak glamping pulang selepas tamat waktu bekerja.
Tambahnya, kawasan itu juga agak terpencil hingga liputan rangkaian telefon juga sangat terhad.
Perkhemahan antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan sekeluarga. -Gambar hiasan
"Kalau nak pergi ke glamping site, biar la ada dua keluarga. Saya dah kena sendiri baru-baru ini.
"Malam pertama, sekitar pukul 3 pagi ada benda besar jatuh atas bumbung zink yang dibuat untuk protect khemah. Saya terus keluar khemah untuk periksa tapi tiada apa-apa," kongsinya dalam satu kumpulan komuniti Facebook.
ARTIKEL BERKAITAN: Kawan tiba-tiba menyulur macam ular lepas Maghrib! Sekelip mata tapak khemah 7 gadis diserang histeria
ARTIKEL BERKAITAN: Bertemu pontianak di tapak khemah! Suami isteri silap langkah bawa telur mentah masuk hutan, makhluk rambut panjang tunjukkan rupa
Malam berikutnya lelaki tersebut membeli kad prabayar sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kecemasan.
Namun, sekitar waktu yang sama iaitu pukul 3 pagi dia terdengar suara bayi menangis berhampiran sungai berdekatan tapak glamping.
"Dengar bayi menangis tepi sungai, mungkin mak dia bangun nk buatkan susu, saya pun keluar khemah nak tengok.
"Tapi saya terlupa, kami sekeluarga je yang sewa tempat tu. Jadi lepas tak jumpa suara bayi tu datang dari mana, saya pun masuk balik dalam khemah jaga tiga orang anak tengah tidur," katanya lagi.
- Lelaki kongsi pengalaman menyeramkan ketika glamping bersama keluarga.
- Malam pertama terdengar bunyi kuat atas bumbung khemah tanpa sebab.
- Malam kedua dengar tangisan bayi berhampiran sungai walau tiada orang lain.
- Penjaga tapak dedah pernah ada kes bayi dibuang di sungai berdekatan.
- Netizen berbahas sama ada gangguan misteri atau bunyi musang lapar.
Disebabkan mulai rasa takut, dia menghubungi pemilik tapak, seorang lelaki yang dipanggil Wak, namun jawapan yang diterima menambahkan lagi rasa seram.
"Dia cakap... tiada apa-apa tuan, cuma dua minggu lepas ada orang buang bayi dalam sungai sebelah tu, Wak dah cari, tapi belum jumpa mayat bayi tu.
"Jadi bunyi suara bayi menangis tu biasa kata Wak," tambah lelaki tersebut.
Pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam kepada lelaki berkenaan, namun menasihatkan orang ramai agar tidak berkhemah sendirian, terutama di kawasan terpencil yang sunyi pada waktu malam.
Reaksi warga maya
Sementara itu, netizen berpandangan untuk mengetahui sama ada sesebuah tapak perkhemahan itu bermasalah atau tidak adalah dengan melihat sama ada kakitangan turut tinggal di situ atau tidak.
"Biasanya kalau campsite yang bermasalah, pemilik atau staf pun tak nak bermalam kat situ. Biasanya memang ada yang mengacau. Faham-faham sendiri je la," kata seorang netizen.
Namun, ada juga warga maya berkata suara tangisan bayi pada waktu malam sebenarnya adalah bunyi musang yang kelaparan.
"Bunyi bayi menangis tu kadang-kadang suara musang. Bunyi memang sama macam bayi menangis.
"Bila dengar bunyi mengilai, bayi menangis atau bau wangi pandan... orang akan cakap pontianak. Padahal musang pandan je. Kesian pontianak kena fitnah," kata individu lain memberi pencerahan.


