TIDAK semua orang mampu untuk menggalas tanggungjawab membesar dan mendidik anak yatim dengan baik.
Namun seorang wanita membuktikan bahawa kasih sayang seorang ibu juga boleh lahir daripada seorang ibu saudara.
Kisahnya tular selepas dia berkongsi pengalaman mendidik anak saudaranya yang kini berusia 12 tahun untuk menjadi seorang yang berdikari dan tahu mengurus diri sejak kecil.
"Saya jaga anak buah saya. Saya ajar dia sidai baju sendiri, sudah makan kena kemas dan basuh pinggan. Bangun pagi sendiri dan tolong buang sampah," ujarnya di Threads.

Makanan disusun dengan kemas.
Bagaimanapun, cara didikannya ini tidak disenangi segelintir pihak hingga ada yang pernah menegurnya agar tidak terlalu tegas terhadap zuriat arwah kakaknya itu atas alasan adalah anak yatim.
Tetapi baginya, ketegasan itu penting untuk membentuk keperibadian dan tanggungjawab pada usia muda.
Malah, wanita ini turut menunjukkan bagaimana kanak-kanak lelaki yang dibelanya itu mampu menyusun makanan di atas meja makan dengan teratur dan kemas.
ARTIKEL BERKAITAN: Dulu korban karier demi jaga anak, kini rasa nak 'gila' duduk rumah! Wanita pernah bekerja 'rindu' masuk ofis tapi majikan sukar terima
ARTIKEL BERKAITAN: Duit upah ‘dikaut’, pengasuh mengaku tak sabar jaga budak... Canang anak asuhan kuat meragam! ‘Babysitter’ otai beri teguran pedas
"Pernah ada orang cakap dekat saya, jangan tegas sangat pada dia. Gambar ni saya yang masak dan dihidangkan oleh anak saudara saya.
"Lulus kan? Untuk pengetahuan dia baru berusia 12 tahun. Untuk arwah kakak, saya akan besarkan anak awak macam anak sendiri.
"Supaya dia jadi lelaki yang baik. Al-fatihah untuk arwah kakak saya," tulisnya lagi.
- Wanita didik anak saudara yatim jadi berdikari sejak kecil.
- Ditegur kononnya terlalu tegas, namun percaya ketegasan bentuk tanggungjawab.
- Anak saudara 12 tahun sudah pandai urus diri dan bantu kerja rumah.
- Kini tinggal dengan keluarga arwah ibu selepas keputusan mahkamah.
- Netizen puji usaha wanita itu dan doakan arwah kakaknya tenang.
Menjawab pertanyaan netizen, wanita itu berkata keluarga di sebelah arwah ibu kanak-kanak terbabit mendapat hak jagaan walaupun dia masih mempunyai bapa kandung.
Difahamkan juga bapa kandung kanak-kanak itu sudah tidak mempedulikannya selepas memilih untuk berkahwin baharu.
Kisah tersebut mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya memuji cara wanita itu mendidik anak buahnya dengan disiplin dan nilai-nilai hidup sebenar.

Sebahagian komen netizen pada hantaran asal.
"Awak sudah lakukan tugasan dengan baik. Saya bangga dengan awak. Pastinya arwah kakak awak gembira kalau dia ada.
"Awak buat dengan baik tapi faham la mungkin niat orang yang menegur itu juga baik. Tapi apa yang bagusnya ialah awak didik dia.
"Terima kasih bantu dia belajar jadi seorang lelaki. Bukan arwah kakak awak je gembira, anak saudara sendiri pun bersyukur nanti apabila dia diberi peluang belajar semua kemahiran ni," demikian komen netizen.


