suria

Rakan gaduh dengan suami selalu minta tolong, wanita bujang hati kering tak jawab 'call' - “Nanti berbaik, kau pula dikata jahat”

Rakan merupakan individu paling dekat selain ahli keluarga sendiri. -Gambar hiasan

SEORANG wanita meluahkan rasa kurang senang apabila sering dijadikan 'tempat' meluahkan perasaan, melepaskan geram dan meminta bantuan oleh kawan-kawan yang mengalami masalah rumah tangga.

Katanya, pengalaman lalu membuatkan dia mengambil keputusan untuk menjauhkan diri setiap kali ada rakan menghadapi masalah dalam perkahwinan.

"Sebenarnya saya dah lama elak masuk campur hal rumah tangga kawan-kawan sebab serik. Lagi-lagi jenis yang tak nak keluar dari hubungan yang dah ‘hauk’ sangat-sangat.

Kesepakatan penting untuk mengekalkan rumah tangga yang harmoni. -Gambar hiasan

"Maaf cakap, kebiasaannya bila kita tolong orang macam ni, akhirnya kita pula yang terbeban. Tiba-tiba nanti hubungi kita suruh ambil dia dekat rumah sebab gaduh dengan suami.

"Ada yang menumpang rumah kita sampai berhari-hari, tak pun suami dia datang rumah kita buat kecoh," jelasnya dalam hantaran di Threads.

Tambah wanita itu lagi, dia memilih untuk menjauhkan diri kerana tidak mahu terus terbeban secara mental dan fizikal dengan mengelak menerima panggilan daripada rakan-rakan khususnya yang sudah berkahwin.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita makan hati suami ‘pinjamkan bahu’ untuk kawan perempuan! 5 jam ‘bergayut’ sampai Subuh dengar masalah

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dikecam, kekasih sanggup tinggal kawan-kawan, ‘bergayut’ di luar restoran dengar masalahnya - “Bukan saya paksa dia call...”

Malah wanita ini tidak peduli sekiranya dilabel sebagai individu yang pentingkan diri kerana tidak membantu atau mendengar masalah rumah tangga dihadapi rakan-rakan.

"Setiap kali kawan macam ni minta tolong saya 'palau' (elak) je. Terbaharu, ada panggilan tengah malam buta bertub-tubi sebab nak tumpang rumah.

"Bergaduh dengan suami, lepas tu minta pinjam duit bagai untuk buat bekal sebab tak ada duit nak pergi kerja sebab biasanya suami yang hantar dan ambil.

  • Seorang wanita serik jadi tempat rakan-rakan meluahkan masalah rumah tangga.
  • Katanya, dia pula yang terbeban setiap kali selepas beri bantuan.
  • Kini dia memilih menjauhkan diri dan tidak lagi melayan panggilan rakan yang sudah berkahwin.
  • Dia tidak kisah dilabel pentingkan diri kerana mahu jaga diri sendiri.
  • Luahannya mendapat sokongan netizen yang pernah alami situasi sama.

"Tapi saya tak layan juga. Biar la nampak pentingkan diri pun kan. Kita jadi sasaran mereka sebab kita bujang. Duduk pula seorang. Jadi dia jadikan rumah kita ni rumah pelarian pula," ujarnya.

Selepas hantaran ini dikongsikan, ramai netizen tampil memberi reaksi dan bersetuju dengan tindakannya.

Dalam pada itu, ada juga warga maya yang berkongsi pengalaman mereka berdepan situasi hampir sama sebelum ini.

Komen netizen di Threads.

"Nanti dia berbaik dengan suami, kau pula dikatakan jahat. 'Bangsa' (jenis) ni memang tak guna ditolong.

"Ye betul. Bila dah berbaik, macam kita pula kawan dari neraka. Padahal banyak menyusahkan orang.

"Saya pernah kena macam ni. Sampai kena hantar dan ambil dia balik kerja. Lepas tu sanggup ajar kawan saya tu pandu kereta sendiri. Sekarang saya dah palau dia. Kasihan tu memang kasihan tapi kasihan lagi diri sendiri," komen beberapa netizen.

Artikel Lain