suria

[V] Peniaga tawarkan ‘hotel’ percuma untuk peserta RXZ Members... Lokasi strategik, kemudahan hampir lengkap

Niat baik peniaga ini menerima pujian netizen.

SEORANG pengusaha kedai makan di Kuala Terengganu menerima pujian kerana menjadikan premisnya sebagai 'hotel percuma' untuk peserta Program RXZ Members 7.0 2025.

Dalam hantaran [Tonton Video] di TikTok, peniaga wanita itu mengalu-alukan peserta yang tidak mempunyai penginapan untuk bermalam dan menggunakan kemudahan di kedainya.

"Tempat tidur percuma untuk musafir RXZ Members. Jemputlah yang mana tiada tempat tidur, datanglah tidur di sini.

Peniaga itu menyediakan tilam dan beberapa kemudahan lain untuk digunakan secara percuma.

"Kemudahan sikit-sikit tu ada, kalau nak selesa memang tidaklah. Sini biasa-biasa je. Lokasi, Kedai Nasi Kukus F1, Banggol Pauh," ujarnya.

Dalam video itu, dia berkata kemudahan seperti tilam, minuman dan tandas turut disediakan secara percuma.

"Kepada musafir-musafir RXZ Members yang tiada tempat tidur, ini kami bagi toto, biasa-biasa je.

  • Peniaga jadikan kedai sebagai 'hotel' percuma untuk peserta RXZ Members 7.0
  • Sediakan kemudahan seperti tilam dan minuman.
  • Terdapat kedai serbaneka dan masjid berdekatan premisnya.
  • Ramai netizen puji sikap mulia peniaga itu.
  • Netizen pesan supaya mereka yang menginap jaga kebersihan kedai itu.

"Lepas tu, ada dua tandas. Kalau ada khemah, boleh berkhemah. Kedai saya besar. Air Coway sejuk dan panas ada, gelas pun ada. 

"Kami ada letak juga gula dan teh, kami ada 'plug' juga untuk cas (peranti elektronik)," ujarnya sambil menambah terdapat kedai serbaneka dan masjid berdekatan premisnya.

Selain itu, dia berkata para peserta yang bermalam di kedainya tidak perlu risau kerana premis itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Motosikal RXZ boleh cecah RM1 juta? Ada sebab mengapa harga ‘keras’, hanya yang kenal ‘bare’ tahu menilai

ARTIKEL BERKAITAN: Bising cuma sekejap... Himpunan RX-Z jana RM40 juta buat Terengganu? Pemuda lakukan pengiraan sendiri, tak sabar nak ‘repeat’

"Sini penuh CCTV, boleh gerak 360 darjah. Kita ada banyak CCTV, Insya-Allah selamat. Lampu, kipas ada... hidupkan sendiri," ujar wanita itu lagi.

Tambah peniaga itu lagi, dia tidak mengharapkan sebarang bayaran daripada mereka yang menumpang tidur dan memadai dengan menitipkan doa sahaja buatnya. 

Di ruangan komen, ramai netizen memuji sikap baik hati wanita itu yang sanggup memberi penginapan percuma buat peserta program berkenaan.

Program RXZ Members 7.0 akan berlangsung pada Sabtu.

"Baik sangat tuan kedai. Buat RXZ Members yang menumpang di sini, jagalah kedai sebaik mungkin, kemas lepas guna.

"Mulia hati akak. Semoga Allah balas kebaikan akak dan rezeki akak melimpah ruah.

Dianggarkan, jarak antara kedai itu dengan lokasi program adalah kira-kira 4.5 kilometer (km).

"Orang Terengganu memang sangat baik melayan tetamu," tulis beberapa netizen.

Untuk rekod, Program RXZ Members 7.0 2025  akan diadakan di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu, pada Sabtu.

 

Artikel Lain