PEMANDUAN secara berhemah bukan hanya kerana kita sayangkan nyawa sendiri dan orang tersayang, tetapi juga disebabkan tidak mahu membahayakan pengguna jalan raya lain.
Di laman Thread, seorang wanita berkongsi satu peristiwa melibatkan dirinya yang terbabit dalam kemalangan apabila keretanya dilanggar dari belakang menyebabkan dia terlanggar kereta lain di hadapan.
Bersyukur kemalangan itu tidak mencederakan sesiapa atau mengakibatkan kerosakan besar, dia bagaimanapun mempunyai 'masalah' dengan sikap pemilik kereta yang dilanggarnya.

Pemanduan cermat di jalan raya mampu mengelakkan kemalangan. - Gambar hiasan
"Kisahnya kereta aku kena langgar dari belakang, dan kereta aku pun terlanggar kereta depan ni. Tak ada calar pun, cuma 'bumper' terkeluar je sebab 'tercium' kereta dia.
"Kereta yang langgar belakang kereta aku tu pun dah langgar lari tapi aku tak sempat pula nak ambil nombor plat kereta dia sebab tengah panik," wanita itu bercerita tentang kemalangan yang berlaku pada pagi Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Tersondol Honda Accord, wanita ini baca bermacam doa terbayang samseng bawa parang... saspens saat bahunya dipegang
ARTIKEL BERKAITAN: Patut la selama ni asyik ‘kiss’ kereta depan... Rupanya ada cara mudah nak tentukan jarak, boleh elak berlanggar
Menurut wanita itu, pemilik kenderaan yang dilanggar menunjukkan sikap sukar memberikan kerjasama malah angkuh apabila diajak berbincang tentang penyelesaian.
Wanita itu berkata, dia pada mulanya setuju untuk sudah tidak membuat laporan polis dan menyatakan kesanggupan untuk membayar kos membaiki kerosakan kereta yang dilanggar.
Bagaimanapun, mengambil kira kesan kerosakan dan keretanya turut dilanggar lari, dia memaklumkan hanya mampu membayar RM150.
"Tapi akak ni kerek (berlagak). Aku cakap aku kena langgar dari belakang, dia tak nak dengar.
"Sekarang tak puas hati meh settle balai. Tak perlu hina orang tak ada duit bagai," katanya yang mengubah fikiran untuk membuat laporan polis gara-gara sikap pemandu wanita terbabit.
Menerusi perkongsiannya, dia turut berkongsi tangkap layar mesej perbualan mereka berdua di WhatsApp yang menunjukkan dia dihina dan dituduh cuai.
"Lain kali kalau tak ada duit, tolonglah berhati-hati. Sekarang ni apa yang awak buat dah menyusahkan saya, last-last awak cakap macam ni," tulis pemandu itu.
- Seorang wanita terbabit kemalangan apabila keretanya dilanggar dari belakang menyebabkan dia terlanggar kereta di depan.
- Panik dilanggar, dia terlupa ambil nombor plat kereta belakang yang melakukan langgar lari.
- Dia terpaksa berurusan dengan pemandu kereta hadapan yang berlagak.
- Pemandu wanita itu menuduh dia cuai dan menghina dirinya kerana tak mampu bayar kos 'repair' yang tinggi - cuma mampu RM150.
- Netizen nasihat agar urus kes di balai polis elak jadi mangsa penipuan pihak yang cuba mengambil kesempatan.
Menerusi ruangan komen, rata-rata pengguna menyarankan wanita itu pergi membuat laporan polis bagi mengelakkan dirinya menjadi mangsa penipuan.
"Balai je, habis cerita. Orang macam ni selagi boleh dia 'tekan' (minta duit) orang.
"Pergi je buat report polis, sebelum orang tu yang buat. Jangan settle tepi orang macam ni, jenis nak duit je.
"Bayar kat polis je RM300, jangan bayar dekat orang. Tahun lepas saya dah kena. Langgar belakang kereta orang, bukan main dia nak minta RM1,000 lebih.
"Saya kata, saya boleh bagi RM300 je. Kalau tak nak, saya nak bayar dekat polis. Selebihnya biar insurans uruskan. Ternganga dia dekat situ," antara perkongsian pengalaman netizen.

Antara reaksi netizen.
Sementara itu ada juga mangsa kemalangan yang mengaku tidak bernasib kerana pelaku memilih untuk tidak bertanggungjawab atas kerugian yang dialami.
"Saya pernah kena langgar sampai jatuh bumper tu. Sesen pun dia tak bayar.
"Last-last malas layan. Biarlah dia bayar kat akhirat," katanya.
Ramai juga berpandangan pemasangan kamera dashcam di bahagian hadapan dan belakang amat penting pada zaman sekarang untuk dijadikan bahan bukti jika berlaku sesuatu di jalan raya.


