TINDAKAN seorang peniaga nasi lemak yang tegas meminta pelanggannya supaya beratur mengikut giliran mendapat pujian seorang wanita.
Menurut seorang wanita yang berada di gerai nasi lemak itu, peniaga terbabit langsung tidak mengendahkan permintaan individu yang cuba memotong barisan walaupun menggunakan alasan sebagai pelanggan tetap.
Dia yang berada di kedudukan kedua dalam barisan melihat sendiri bagaimana sikap pelanggan wanita yang dimaksudkannya itu.

Nasi lemak merupakan menu kebiasaan dicari orang ramai. -Gambar hiasan
"Jah, nasi lemak lauk ayam, bungkus dua. Bagi aku dulu la, aku regular customer (pelanggan tetap) kau," pekik wanita itu kepada peniaga berkenaan.
Namun, peniaga tersebut dengan tenang meminta wanita itu untuk turut sama beratur kerana pelanggan sedang ramai dan ia tidak adil untuk orang lain.
Mujur tiada sebarang 'drama' yang berlaku selepas permintaannya ditolak.
ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga burger lelaki kena marah panggil pelanggan ‘sayang’, terus kena boikot - “Dia tu suami orang!”
ARTIKEL BERKAITAN: Niat mahu bantu gerai ‘sendu’, wanita dapat jawapan lepas makan 4 kuih dibeli! Serba salah nak tegur peniaga bazar
"Respect (kagum) dengan akak tu. Lembut je dia beritahu kena beratur sebab pelanggan tengah ramai.
"Tak adil untuk orang lain. Pelanggan tu pun dengan 'muka masam' tak puas hati terus pergi belakang.
"Tak pasti dia beratur dekat belakang barisan atau terus beredar," ujar wanita itu lagi dalam hantaran berkenaan.
- Seorang peniaga nasi lemak bertegas supaya semua pelanggan beratur seperti orang lain.
- Kejadian berlaku ketika seorang wanita memotong barisan dan meminta dilayan dahulu kerana mendakwa dia pelanggan tetap.
- Peniaga itu dengan tenang meminta wanita berkenaan beratur demi keadilan kepada pelanggan lain.
- Wanita tersebut beredar dengan muka masam tanpa membuat pembelian, manakala netizen memuji sikap tegas peniaga.
- Perkongsian turut mengingatkan bahawa ada pelanggan berasa diri berhak mendapat layanan istimewa dan perlu ditegur.
Membalas beberapa komen netizen, pengadu berkata walaupun peniaga berkenaan dilihat tegas namun jauh di sudut hatinya dia masih serba-salah kerana perlu membuat teguran sedemikian.
"Nampak muka peniaga tu serba salah, tapi dia buat tindakan betul. Insya-Allah rezeki dia bertambah.
"Kadang-kadang orang macam ni kena ada yang berani tegur, sebab tak pernah kena tegur tu la dia rasa dia terpaling privilage (berhak)," ujarnya lagi.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi dan respons netizen yang memuji tindakan si peniaga yang berani dan bersikap adil.

Komen netizen pada hantaran asal.
Malah, ada juga yang mengakui taktik sedemikian bukan perkara baharu dibuat pelanggan demi mendapat layanan lebih cepat.
"Tak bagus tunjuk keangkuhan depan orang. Sekali dapat malu. Harap ambil pengajaran.
"Kalau ramai yang beratur tu, aku rasa akak tu pun tak rugi kalau dia kehilangan so-called regular customer ni.
"Itu lumrah... ada yang datang duduk sebelah peniaga kemudian buat pesanan. Peniaga bungkus juga senyap-senyap sambil layan pelanggan lain," komen beberapa netizen.


