HANYA kerana nama 'dipetik', seorang remaja lelaki dibelasah beramai-ramai di sebuah gelanggang futsal di Kampung Sentosa, Seremban, Negeri Sembilan.
Susulan insiden pada 8 Mei itu, mangsa yang berusia 17 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala termasuk patah tulang pipi dan hidung serta retak pada dagu.
Tragedi itu diceritakan semula oleh abang mangsa, Muahmmad Safwan Dildaar Mohammad yang sedih melihat keadaannya.
Pemuda berusia 24 tahun ini mendakwa adiknya Muhammad Syahir Danial 'dikutip' sekumpulan lelaki termasuk abang kepada rakannya yang dikenali sebagai Adam ketika sedang melepak di sebuah restoran sekitar pukul 12 tengah malam.
Muhammad Syahir Danial dibawa ke rumah individu dikenali sebagai abang Adam.
"Kisahnya, orang main petik nama, Adam tu kemalangan terbabas langgar tembok sampai masuk Unit Rawatan Rapi (ICU), tapi dia cakap kena pukul.
"Jadi abang dia cari siapa yang pukul, mereka terus ambil adik dan bawa ke gelanggang futsal Kampung Sentosa.
"Lepas pukul, mereka bawa adik balik ke rumah... masa tu baru tahu yang mereka salah pukul orang," luahnya yang turut hairan kenapa nama adiknya 'dipetik'.
Selepas mengetahui mereka tersilap orang, Muhammad Syahir Danial dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Sahabat dedah siapa sebenarnya OKU kena belasah... Anggap insiden amat memalukan - “Mana akal, iman kamu semua?”
Pada masa sama, dia diminta supaya merahsiakan kejadian yang berlaku dan hanya mengaku diri mengalami kemalangan.
"Mereka bawa adik saya pergi klinik dan suruh cakap pada keluarga yang dia kemalangan, bukan dipukul,” dakwanya.
Dia yang mesra disapa Roy Spark turut mengharapkan keadilan untuk adiknya yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik.
Tambahan pula, adiknya bakal meraikan ulang tahun ke-17 pada 11 Mei (esok).
Muhammad Syahir Danial merupakan seorang introvert.
Namun keadaannya kurang memuaskan dengan kesan lebam penuh pada bahagian muka selain masih trauma dengan kejadian itu.
"Walaupun dah boleh bangun, adik trauma nak jumpa orang, dia kena kepung dengan lebih 20 individu tapi yang pukul tu 16 orang.
"Adik cakap yang semua kat situ macam nak tunjuk hero, seorang buat, terus yang lain pun buat.
"Paling teruk dia kena, ada orang cekak rambut dia dan seorang lagi sepak muka. Sekarang muka dia kelihatan senget.
"Kejadian tu buatkan dia meminta sedikit masa untuk kembali bersekolah," luahnya yang sudah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Roy berharap adiknya mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Berkongsi perihal adiknya itu, ujar Roy Spark, Muhammad Syahir Danial seorang yang 'introvert' dan hanya berada dalam 'dunianya' sendiri.
"Memang kadang kala mulut dia lebih tapi sebenarnya adik seorang yang penakut... dia suka cakap besar dengan keluarga je.
"Dari kecil hingga besar, dia tak pernah ada kes apa-apa kat sekolah atau pukul anak orang sebab dunia dia main game sahaja," tambahnya.
Terdahulu, video adiknya dipukul menjadi tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.
Menerusi klip yang dikongsikan, keadaan mangsa kelihatan teruk dengan lelehan darah pada bahagian muka, mata lebam dan kening terkoyak.
Dalam pada itu, media melaporkan polis telah menahan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Menurut Asisten Komisioner Seremban Asisten Komisioner Mohammad Hatta Che Din, kesemua suspek berusia antara 17 dan 31 tahun, ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban pada 10 Mei untuk siasatan lanjut.