suria

‘Hero’ tunggal seronok beraya dengan 7 kakak, ibu kena buat ‘checklist’ setiap kali balik kampung

Sedondon ketika meraikan Aidilfitri tahun lalu.

SAMA seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan Aidilfitri bagi pasangan Nor Shaeriani Awang Hamat dan Mohamad Farishal sentiasa meriah dengan kehadiran lapan cahaya mata yang terdiri daripada tujuh puteri dan seorang putera.

Namun lebaran kali ini terasa lebih meriah apabila anak bongsu mereka yang juga merupakan satu-satunya putera, Ahmad Qhalifa Mohamad Farishal yang kini berusia hampir satu tahun setengah semakin keletah dan boleh beraya bersama kakak-kakaknya.

"Raya tahun lepas, putera bongsu baru berusia tiga bulan... baby lagi. Tahun ni dia dah besar sikit. Jadi makin bertambah meriahlah gelagat lapan beradik ni.

Bergambar kenangan sebelum pulang ke kampung untuk meraikan 1 Syawal, minggu lalu.

"Untuk tahun ini, kami pulang beraya di kampung suami dulu iaitu di Dungun, hari raya kedua pula di sebelah saya iaitu di Machang, Kelantan.

"Saya dan adik-beradik sememangnya dah plan nak berkumpul di rumah pusaka peninggalan arwah mak dan ayah kerana di situlah terciptanya memori kami seramai 12 beradik.

"Walaupun sekarang dah tinggal empat beradik kerana yang lain sudah meninggal dunia, menjadi tradisi untuk kami berkumpul untuk eratkan silaturrahim selain mahu anak-anak kenal sepupu sepapat, saudara mara mereka," ujarnya yang menetap di Seri Kembangan.

'Putera bongsu', Ahmad Qhalifa yang kini berusia hampir satu tahun setengah.

Sebagai ibu, tentunya segala persiapan perlu dilakukan dengan teliti terutamanya apabila melibatkan persalinan baju raya, lebih-lebih lagi buat Nor Shaeriani yang perlu memikirkan busana buat lapan cahaya mata.

Menurut wanita berusia 42 tahun ini, dia biasanya melakukan persiapan membeli baju raya sejak awal Ramadan untuk mengelakkan berlakunya situasi kelam kabut.

"Dulu saya tempah dekat tukang jahit. Tapi bila anak makin ramai, senang beli secara online je.

ARTIKEL BERKAITAN: Meriah! Rezeki dikurniakan 7 puteri, suami isteri tetap tak putus asa nak timang 'hero'... kalau tak tunggu menantu je - “Orang kata curi senduk di rumah ramai anak lelaki”

ARTIKEL BERKAITAN: Ada 7 puteri, anak ke-8 dalam perut sorok jantina dengan mak ayah! Pasangan syukur doa dapat ‘hero’ makbul, tumbang seekor lembu

"Dulu masa anak-anak perempuan kecil-kecil, senang saya beli sedondon sama corak dan pattern.

"Tapi sekarang masing-masing dah meningkat remaja, ada cita rasa. Saya beri kelonggaran mereka buat pilihan, cuma tetap sedondon dari segi warna.

Setakat ini memang tak pernah berlaku lagi insiden tertinggal baju raya. Kita kira dulu sebelum masuk beg

NOR SHAERIANI AWANG HAMAT

"Saya bagi mereka survey lepas tu terus order je. Tak ada istilah beli baju raya di mall bila anak dah ramai. Nanti seorang demi seorang nak fitting, jenuh," ujarnya lagi.

Begitu juga sebelum bertolak pulang ke kampung, ujar Nor Shaeriani, dia akan menyiapkan senarai kelengkapan termasuk pakaian yang perlu dibawa untuk mengelakkan berlakunya keciciran.

"Kalau nak balik kampung atau ke mana-mana, memang plan awal, buat list apa yang nak bawa.

Sering mengenakan pakaian sedondon setiap kali bercuti atau pulang ke kampung.

"Memang saya dah tulis siap-siap, pakai baju apa selama duduk di sana. Semua baju anak-anak sama senang cerita. Walaupun baju berjalan.

"Setakat ini memang tak pernah berlaku lagi insiden tertinggal baju raya. Kita kira dulu sebelum masuk beg," ujarnya sambal ketawa kecil.

Untuk rekod, mStar pernah menemubual kisah Nor Shaeriani dan suaminya yang tidak berputus asa menimang 'hero' selepas dikurniakan tujuh puteri pada 2020, dan kisah pasangan ini yang akhirnya menimang putera bongsu pada 2023. 

Artikel Lain