suria

Saban tahun ‘pilot darat’ beraya atas jalan, Aidilfitri kali ini lebih bermakna... Deko bilik dalam treler jadi perhatian

Abang Cross sentiasa mencari masa untuk keluarga meskipun tanggungjawab kerja yang berat.

AIDILFITRI pastinya menjadi lebih bermakna bersama yang tersayang di sisi.

Begitulah antara nikmat kehidupan yang dicemburui Abang Cross, seorang pemandu treler yang saban tahun mencari rezeki menghantar kargo ke negara jiran pada hari lebaran.

Bergelar 'pilot darat' selama 13 tahun, anak jati Bukit Kayu Hitam, Kedah berkata pekerjaannya mempunyai banyak cabaran tersendiri, ini termasuk terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Treler boleh diibaratkan seperti rumah kedua untuk Abang Cross.

"Alhamdulillah tahun ni saya dapat cuti beraya bersama keluarga, kami balik kampung saya. Tapi itulah, disebabkan sangat sibuk dengan banyak job masuk ke Singapura dan Thailand, persiapan raya kami dibuat pada saat akhir.

"Untuk baju raya kami sekeluarga, hujung minggu terakhir Ramadan baru kami pergi cari. Tak tahu nak pilih baju tema warna apa, terjah mall baru buat keputusan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Pilot darat' jenis pembersih ada bilik cantik dalam treler! Mengantuk terus tidur atas tilam pink, tak perlu hotel

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Bang, lagi cantik dari bilik saya” - Bilik sekali ‘ofis’, bangun tidur terus mula kerja... ramai cemburu life pemandu treler

"Makanan di pagi raya dan mengemas rumah apatah lagi. Mujur isteri banyak yang tolong uruskan, saya nak masuk campur tak sempat. Itulah antara kekurangannya, gaji saya mungkin sedikit lumayan tapi raya saya tak meriah seperti keluarga lain.

"Macam baru-baru ni anak masuk sekolah penggal baharu pun, isteri saya yang pergi tengokkan. Saya di luar kawasan ketika itu. Kehidupan saya selalunya atas treler di jalan, kurang masa dengan keluarga," kata Abang Cross kepada mStar.

Kisah lelaki berusia 38 tahun ini pernah tular kerana memiliki kabin di dalam treler yang bersih dan kondusif serta lengkap dengan ruang tidur.

Semuanya atas dasar kerja, itu yang saya sedikit ralat setiap kali terfikir.

ABANG CROSS

Pengalaman manis meraikan Aidilfitri tentunya masih segar di ingatan, Abang Cross berkata dia tidak mempunyai banyak memori yang dicipta kerana komitmen kerjanya.

"Lebih banyak saya beraya atas treler berbanding meraikannya bersama keluarga. Boleh katakan setiap kali raya kalau ada keluarga, itu dah cukup manis bagi saya.

"Orang lain kalau bercerita tentang pengalaman Syawal, memang ekstra habis perkongsiannya tapi saya biasa-biasa je, tak banyak yang hendak diuar-uarkan.

"Kalau tentang pengalaman pahit pula, ada satu yang selamanya melekat dalam ingatan ni, tapi lari sikit daripada topik raya. Ayah saya meninggal dunia ketika itu dan saya pula jauh bekerja, kelam-kabut balik.

"Apabila sampai, dapat tengok jenazah arwah ayah je, tak sempat nak tolong mandikan dan kafankan. Semuanya atas dasar kerja, itu yang saya sedikit ralat setiap kali terfikir," ujar Abang Cross.

Keluarga bahagia yang didirikan Abang Cross.

Sementara itu, mengulas mengenai kabin trelernya yang menjadi perhatian ramai, Abang Cross bagaimanapun tidak mempunyai perancangan untuk menambah aksesori baharu.

"Ada yang tanya, sempena raya ni tak ada plan nak letak lampu lip lap ke dalam treler, baru feeling Aidilfitri. Saya kata tak boleh sebab treler ni harta syarikat sebenarnya, mereka ada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Tak boleh sesuka hati ubah suai treler ni. Macam hari tu video saya tular sebab kabin dalam cantik, pihak pengurusan ada berikan amaran supaya saya berpada-pada.

"Sebab itu juga kebelakangan ini saya dah kurang aktif upload video di TikTok," kata Abang Cross.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain