suria

Bergetar iman tengok ’stylist’ wanita berbaju kurung potong rambut lelaki... Makin manis semua bertudung

Rakaman memaparkan staf wanita bertudung menggunting rambut lelaki.

KHIDMAT pendandan rambut secara profesional di salon kecantikan kini bukan hanya diperlukan kaum wanita.

Sebaliknya ia turut mendapat tempat dalam kalangan lelaki yang mementingkan teknik potongan, gaya dandanan mahupun warna rambut.

Bagi mereka yang biasa berkunjung ke premis menyediakan khidmat tanpa mengenal jantina atau uniseks pasti mengetahui bahawa pendandan rambut boleh memberi servis kepada pelanggan lelaki atau wanita.

Pilihan gaya potongan rambut adalah berbeza antara individu. -Gambar hiasan

Namun melalui satu video tular di laman TikTok, gempar apabila sebuah salon mempunyai staf wanita yang lengkap bertudung dan berbaju kurung hanya menyediakan khidmat menggunting rambut kepada pelanggan lelaki sahaja.

Salon yang terletak di Bandar Perda, Pulau Pinang itu mengejutkan ramai kerana disangka mengamalkan konsep di luar kebiasaan, iaitu menampilkan petugas wanita Muslimah untuk mengurus pelanggan bukan mahram.

Walaupun dilihat melanggar norma, rata-rata warga maya di ruangan komen TikTok memberikan sokongan yang memberangsangkan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Adakah kami baru kena scam di Malaysia?” - Pelancong UK terkejut harga trim rambut RM120, barber warga asing beri alasan ‘cukai’

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Ramai tak keruan tengok jejaka sado cuci gunting, terus rasa nak potong rambut - “Abang ni barber ke tok mudim?”

"Ada kosong lagi ke, saya nak masuk booking ni. Rambut dah panjang, tiba masanya untuk buat rambut raya. Memang seronok rasanya dapat layanan macam ni.

"Dah boleh kot buka 'beg kuning' untuk booking, ramai yang tunggu ni. Kalau macam ni rupanya, barber silap potong rambut pun saya tak marah. Sejuk je hati ni.

"Ini barber betul ke sister? Boleh tunjuk tak video potongan rambut jenis wolfcut untuk lelaki? Cara mullet boleh potong tak? Saya berminat ni," kata sebahagian warga maya.

Pada hari Jumaat temanya adalah baju kurung... kebetulan pula video tu dirakam pada Jumaat lalu.

NAJWA

PEMILIK SALON

Dalam pada itu, tidak kurang juga warga maya yang beranggapan pemakaian baju kurung merupakan teknik pemasaran genius salon terbabit.

"Pandai mereka ni main sentimen Ramadan, nampak ayu je semua potong rambut walaupun sudah terang lagi bersuluh salah di sisi agama, dilarang keras campur lelaki dan perempuan.

"Mungkin sebab pasaran dah tepu, ini satu-satunya cara untuk salon tu jadi terkedepan. Kalau tak dah terkebelakang," ujar pelayar di laman X.

Seterusnya, merujuk kepada ulasan pendakwah selebriti, Ustaz Haslin Baharim mengenai isu ini, dipersetujui bahawa ia adalah satu perbuatan yang melampau.

Sebahagian komen warga maya.

"Pada zaman ini sudah ada ramai lelaki yang mahir menggunting rambut. Demikian itu, tidak ada keperluan untuk seorang lelaki membiarkan rambutnya digunting wanita yang bukan mahram.

"Jika dilakukan ia termasuk dalam pergaulan bebas yang diharamkan. Firman Allah dalam ayat An-Nur: 30.

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.

"Oleh itu, jauhkan daripada pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, perbuatan ini akan mendorong kepada perlakuan melampau seperti bersentuhan, berduaan, percabulan dan penzinaan," jelas Ustaz Haslin Baharim.

Ruangan khas untuk Muslimah di salon milik Najwa.

Sementara itu, menerusi video penjelasan yang dimuat naik pada malam Isnin, pemilik salon kecantikan yang hanya mahu dikenali sebagai Najwa mengakui kekhilafan daripada pihaknya.

"Saya tidak akan menegakkan benang yang basah, saya akui kesilapan kami. Bagi menjernihkan keadaan, saya hendak terangkan bahawa kami bukanlah salon yang menawarkan perkhidmatan khusus untuk lelaki.

"Tetapi disebabkan di kawasan kami ini tidak banyak mempunyai kedai gunting rambut yang pandai membuat styling (penggayaan), maka ramai lelaki yang datang kepada kami. Jika ada kedai lain pun, ia lebih mahal dan diusahakan bangsa lain.

"Oleh itu ramai pelanggan lelaki ini yang terus setia dengan salon kami. Sebagai makluman, kami hanya menerima pelanggan lelaki daripada kalangan budak sekolah, lelaki dewasa tidak diterima dan harus pergi ke barber lain," jelas Najwa.

Ruangan menunggu dan solat untuk pelanggan Muslimah.

Tambahanya lagi, mengenai staf salon yang mengenakan baju kurung, Najwa berkata ia tidak mempunyai kaitan dengan gimik pemasaran.

"Kami sama sekali tidak berniat untuk membuat tarikan dengan menggunakan baju kurung. Untuk pengetahuan semua, kami di salon ni tidak mempunyai uniform dan akan memakai baju kasual.

"Boleh dipakai baju t-shirt dan kemeja, cuma pada hari Jumaat temanya adalah baju kurung. Kebetulan pula video tu dirakam pada Jumaat lalu. Tolong jangan buat isu yang tidak sepatutnya

"Kami juga tidak mencampur pelanggan lelaki dan perempuan dalam satu salon seperti yang didakwa ramai. Kami mempunyai ruangan khas yang tertutup untuk Muslimah menggunting rambut," kata Najwa panjang lebar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain