suria

Kakak pelajar mangsa pukul buka cerita, mula-mula adik takut mengaku dibuli... Terpaksa tipu nenek konon jatuh main futsal

Adik Nisha cedera dipukul sekumpulan pelajar sekolahnya, minggu lalu.

"SAYA dan keluarga akan berjuang hingga kami dapat keadilan."

Demikian ujar kakak kepada pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah yang menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar tingkatan lima sekolah yang sama, minggu lalu.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nisha kepada mStar, adiknya yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Ampang, Selangor cedera di muka, dahi dan tengkuk akibat dibelasah empat pelajar senior.

Tidak hanya mengalami kecederaan fizikal, wanita berusia 28 tahun itu berkata, adiknya yang merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik juga menunjukkan perubahan sikap sejak kejadian berkenaan.

pic 3

Mangsa (dalam bulatan) rebah selepas diasak beberapa pelajar.

"Dia jadi macam tak banyak bercakap dan lebih gemar menyendiri pada beberapa hari pertama selepas insiden itu viral. Selera makan pun berkurang... mungkin sebab rahangnya sakit.

"Selepas kami buat laporan polis pada 11 Mei dan selesai kira-kira pukul 2 pagi, kami terus bawa dia ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

"Disebabkan kejadian tu dah berlaku tiga hari sebelumnya, maka kesan pukulan tak berapa nampak kecuali ada parut luka dekat kening dan lebam juga.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak hormat senior... Pelajar tingkatan 3 diterajang, 14 kali muka ditumbuk

ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula londeh seluar, kemudian tendang perut! Kanak-kanak perempuan trauma jadi mangsa buli di tadika... Ibu nak lapor polis

"Namun kami bersyukur sebab doktor kata tiada kecederaan serius seperti patah tulang dan sebagainya. Dia juga tak ke sekolah sebab mak tak benarkan lagi... biar benar-benar sembuh dulu.

"Baru-baru ini nampak keadaannya okay sikit... saya bawa dia keluar supaya dia tak habiskan masa seorang diri saja," ujarnya lagi.

Untuk makluman, media sebelum ini melaporkan seorang pelajar lelaki dibelasah teruk oleh beberapa pelajar lain, didakwa akibat perselisihan faham apabila mangsa dikatakan tidak menghormati kumpulan senior.

pic 1

Antara tangkap layar daripada video yang tular memaparkan mangsa dibelasah di Trek Motocross Bukit Mar Mar.

Serangan terhadap mangsa pada mulanya berlaku di sekolah mereka kira-kira pukul 9.30 pagi, 8 Mei lalu, di mana dia ditumbuk di dada kiri, dicekik dan ditendang di belakang oleh pelajar yang berkenaan.

Kira-kira pukul 3 petang hari yang sama, mangsa diugut dan diminta ke Trek Motocross Bukit Mar Mar, Kemensah dan di lokasi berkenaan, mangsa sekali lagi dibelasah.

Video kejadian berkenaan turut tular di media sosial.

"Pada hari kejadian, adik saya beritahu kami dia nak main futsal waktu petang. Apabila dia dihantar pulang ke rumah oleh rakannya selepas dipukul, dia beritahu nenek yang dia terjatuh ketika main futsal.

Apabila ditanya kenapa tak terus cerita daripada awal, adik beritahu dia takut sebab diugut.

NISHA

KAKAK MANGSA

"Kami hanya tahu kejadian menimpanya pada 11 Mei, selepas video tersebar. Terkejut apabila tengok adik kena belasah sebegitu rupa. Selalu tengok kes seperti ini berlaku dekat orang lain, tapi sekarang kena dekat keluarga kita pula.

"Apabila ditanya kenapa tak terus cerita daripada awal, adik beritahu dia takut sebab diugut.

"Ditanya betul ke dakwaan tak hormat senior? Adik beritahu dia sama sekali tidak tahu bagaimana isu itu muncul kerana dia langsung tak faham macam mana yang dikatakan tak hormat tu.Tiba-tiba je jadi sasaran dan diserang," cerita Nisha yang merupakan anak sulung daripada empat adik beradik.

pic 2

Mangsa hanya mampu menutup muka ketika badannya diserang bertubi-tubi.

Nisha berkata setakat ini keluarganya dimaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun dia turut melahirkan rasa terkilan kerana ibu bapa kepada dua daripada empat pelajar yang didakwa memukul adiknya, langsung tidak menunjukkan batang hidung apatah lagi memohon maaf.

"Masa dekat balai polis, ibu bapa kepada dua pelajar tersebut ada datang minta maaf, tapi yang ibu bapa kepada dua lagi pelajar tak ada pun hubungi kami sampai sekarang.

"Dah tahu anak terlibat, seelok-eloknya ke depan. Ini tidak, mereka ingat adik saya tak ada mak bapa? Tolong bersemuka dengan kami.

"Pendek kata, kami mahu kes ini diambil serius kerana kami mahu keadilan ditegakkan supaya tidak berlaku lagi benda sama kepada orang lain. Kami akan berjuang sehabis daya untuk adik," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain