suria

Geng pemuda ‘buat hal’ di lampu isyarat jual baju Melayu premium dari kereta ke kereta... cuaca terik tapi tiada kesan peluh di baju!

Promosi baju Melayu yang dibuat di jalanan menarik perhatian ramai.

SESI jual beli di persimpangan lampu isyarat sudah menjadi kebiasaan bagi pengguna jalan raya terutamanya di bandar-bandar besar.

Ketika lampu isyarat bertukar merah dan kenderaan terpaksa berhenti, peniaga akan berjalan dari kereta ke kereta untuk menawarkan jualan mereka seperti jeruk mangga dan makanan ringan lain.

Namun begitu, lain ceritanya di sebuah simpang empat di Kuala Terengganu apabila bukannya makanan yang dibawa kepada para pemandu, tetapi baju Melayu.

Melalui satu video tular di TikTok, seorang pemuda dilihat tergamam dengan kaedah perniagaan sedemikian kerana menganggap ia adalah sesuatu yang unik.

Di bawah terik mentari yang membahang, sekumpulan pemuda segak berbaju Melayu diperhatikan berjalan dari hadapan simpang sehingga ke belakang sambil mempamerkan koleksi baju Melayu di tangan. '

Merungkai apa yang berlaku, ternyata ia adalah satu gimik promosi yang dikelolakan oleh butik baju Melayu Uthmany.

ARTIKEL BERKAITAN: Geng pelajar ‘otak bisnes’ ulang kejayaan zaman matrikulasi, masuk UiTM terus raih jualan RM130,000... baju dijual laku keras

ARTIKEL BERKAITAN: Kempunan makan bihun sup dengan arwah ibu, jejaka ini buka cerita kisah baju Melayu hitam di Aidilfitri... 5 tahun tak pernah ganti

Bercakap kepada mStar, Ketua Pemasaran Uthmany, Afiq Aziz mengakui perniagaan baju Melayu mereka masih setahun jagung, justeru syarikat mahu mencuba sesuatu yang agresif untuk menarik perhatian masyarakat.

"Uthmany ni adalah satu jenama baju Melayu yang baru satu tahun bertapak dalam pasaran. Kami kena bersaing dengan banyak brand lain yang dah lagi lama dari kami.

"Memandangkan kita dah menghampiri penghujung Ramadan dan nak raya dah, jadi kami putuskan untuk buat sesuatu yang pelik supaya orang kenal jenama kami ni.

Saya tak mengejar keuntungan kerana pada saya quality over quantity.

AMIR BURHAN

Pengasas Uthmany

"Dari kita menunggu pelanggan datang ke kedai kita, baik kita pergi cari orang dekat luar. Gimik yang kami buat di traffic light tu sebenarnya dekat dengan premis perniagaan kami yang baru dibuka.

"Ramai yang tak tahu kedai kami ada di situ. Jadi kami pergi kepada orang ramai dan tunjuk baju Melayu kami, bagi mereka rasai keselesaan material baju Melayu dan ajak mereka datang ke kedai," ujar Afiq.

Berkat usaha mereka, Afiq berkata warga maya mula mengenali jenama Uthmany dan berminat untuk melawat gedung baju Melayu mereka.

Pemuda dalam kalangan staf Uthmany bertungkus-lumus mempromosikan baju Melayu.

"Ada video TikTok yang orang rakam kami buat gimik tu dan ia viral, sedikit sebanyak jenama Uthmany berjaya dapatkan liputan yang kami mahukan.

"Yang gerakkan promosi ni pun staff dan rakan-rakan dalam kalangan kami. Mereka sanggup berpanas supaya Uthmany boleh melebarkan sayapnya dan maju dalam perniagaan.

"Dalam kami berpanas tu pun sebenarnya ada selling point yang kami ketengahkan, baju Melayu kami ni ditekankan sebagai selesa dan kalau berpeluh pun tidak akan rasa melekit kepada si pemakai.

Baju Melayu dipromosikan dari kereta ke kereta untuk mengajak orang ramai melawat butik Uthmany.

"Terbukti dalam gimik itu, tak ada kelihatan satu tompok peluh pun pada baju Melayu staf kami. Mereka selesa bergerak ke sana sini di bawah terik matahari. Live demonstration keberkesanan baju Melayu Uthmany," katanya.

Menurut Afiq, promosi mereka itu akan dijalankan pada petang hari apabila orang ramai keluar untuk bersiar-siar dan beriadah.

"Kami akan start buat dalam pukul 4 atau 5 petang. Kami rancang hujung minggu depan pun akan buat lagi promosi.

"Lagi-lagi bila ramai warga kota akan pulang ke kampung halaman, itu yang kami nak target," ujarnya.

Butik Uthmany yang baru dibuka di Kuala Terengganu.

Melalui perkongsian oleh pengasas Uthmany, Amir Burhan, dia berkata meletakkan kepuasan pelanggan adalah yang utama sebelum keuntungan.

"Di Uthmany, ada dua perkara yang saya sangat pentingkan iaitu kualiti jahitan dan material yang digunakan. Saya dah lama menjual baju Melayu sebelum ini, selama 10 tahun saya kumpulkan feedback daripada semua pelanggan.

"Jadi bila nak asaskan Uthmany ni, saya belajar dari semua tu untuk hasilkan satu baju Melayu yang terbaik. Saya tak mengejar keuntungan kerana pada saya quality over quantity.

"Saya cakap dengan kilang yang kami berurusan, tidak mengapa jika production baju Melayu perlahan, asalkan dapat beri perhatian kepada kualiti.

Koleksi baju Melayu Uthmany yang datang dengan empat pilihan warna.

"Saya nak kekalkan pelanggan saya dan dapatkan kepercayaan mereka," kata Amir.

Uthmany menyediakan baju Melayu cekak musang sahaja pada tahun ini dan akan berkembang kepada teluk belanga dan kurta pada tahun-tahun yang seterusnya.

"Baju Melayu di Uthmany boleh dimiliki dengan harga serendah RM179, ia sangat berpatutan dengan kualiti premium yang kami tawarkan.

"Kalau beli sepasang baju Melayu dengan seluar, ia berharga RM199, kami juga akan berikan secara percuma kotak butang baju Melayu ekskulsif.

"Warna yang kami ada ialah warna hitam, warna lilac, bably blue, navy blue dan smoky green," kata Amir.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain