suria

Anak kecil takut ke tadika kena rentas titi usang! Pemuda ‘angkut geng’, jambatan 3 tahun rosak dibaiki dalam masa 4 jam

Edy lega dapat membantu penduduk kampung itu.

BERTARUNG nyawa demi ilmu.

Begitulah kisah anak-anak kecil di Kampung Rungus, Tamparuli, Sabah, yang terpaksa merentasi sebuah jambatan usang untuk ke tadika dan sekolah, sejak tiga tahun lalu.

Menurut aktivis kebajikan Adrian Edy, dia dimaklumkan mengenai jambatan itu oleh seorang wanita menerusi Facebook sebelum turun padang untuk melihat sendiri penderitaan yang dilalui penduduk kampung tersebut.

edy3

Masalah berlarutan sejak tiga tahun lalu selesai dalam masa empat jam.

"Ada seorang wanita hantar video kepada saya. Dia kata anaknya menangis setiap hari nak lalu jambatan tu untuk pergi ke tadika. Dia pun sedang hamil. Dia tanya sekiranya saya boleh bantu.

"Pengadu kata jambatan itu laluan utama untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Rungus, Tabika Kemas Kampung Rungus dan Pra Sekolah Kampung Rungus. Dah tiga tahun rosak. Kalau tak guna jambatan tu, mereka perlu guna jalan yang jauh untuk ke sekolah, kena naik kereta.

"Selain murid dan guru, orang kampung yang nak pergi kebun pun guna jambatan yang sama. Saya pergi tengok sendiri, banyak lantai papan jambatan tu dah rosak dan tercabut. Bawahnya ada jaring, tapi ia tetap bahaya," ujarnya kepada mStar.

Saya difahamkan dalam 50 ke 60 orang murid akan lalu jambatan ni setiap hari. Ini tak termasuk penduduk kampung yang lain.

ADRIAN EDY

Tanpa melengahkan masa, Edy bersama tujuh ahli pasukannya kembali semula ke kampung itu dengan membawa 45 keping kayu baharu untuk membaiki jambatan tersebut pada Ahad lalu.

Di bawah bahang mentari, Edy bersama pasukannya gigih membaiki jambatan tersebut demi keselesaan penduduk kampung dan bersyukur masalah berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh empat jam sahaja.

"Di bawah jambatan tu ada sungai. Saya risau berlakunya tragedi. Sebelum ini saya biasanya bagi bantuan dari segi wang ringgit, barang dapur, barang keperluan dan basikal. Ini kali pertama saya bantu baiki jambatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat walau pakai kasut getah RM9! Murid miskin punya bakat bola sepak luar biasa, harap dapat masuk akademi JDT

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa kayuh basikal hantar 3 anak ke sekolah jam 5.30 pagi... kemudian jual sayur RM1 di tepi jalan, untung sehari RM15

"Saya tak pasti berapa panjang jambatan itu, tapi ia agak panjang. Saya bawa 45 keping kayu untuk tampal lantai jambatan yang lopong dan rosak. Syukur ia berjaya siap dalam empat jam.

"Sepanjang misi itu, ketua kampung, penduduk kampung, guru dan kanak-kanak pun ada menemani kami. Mereka turut hidangkan air kepada ahli pasukan saya yang bukan Islam, mereka bantu juga," ujarnya lagi.

Menurut Edy, dia juga terharu apabila warga kampung itu tidak henti-henti mengucapkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan olehnya baru-baru ini.

edy2

Edy bersama ahli pasukannya.

"Syukur tuhan permudahkan urusan saya dan ahli pasukan untuk baik pulih jambatan ini. Lepas ni budak-budak boleh pergi sekolah dengan gembira, tidak perlu takut-takut atau guna jalan yang lebih jauh.

"Saya difahamkan dalam 50 ke 60 orang murid akan lalu jambatan ni setiap hari. Ini tak termasuk penduduk kampung yang lain. Saya bantu sikit-sikit saja, moga dapat memberi manfaat buat mereka semya.

edy4

45 keping kayu digunakan ketika baik pulih jambatan usang itu.

"Tidak henti-henti mereka ucap terima kasih. Ibu bapa, para guru, murid-murid serta penduduk kampung sangat bersyukur dengan baik pulih itu. Bila kita rasa susah, ada lagi yang susah daripada kita," ujar Edy lagi.

Edy turut berkongsi foto serta video sepanjang misi itu menerusi media sosial sehingga dia menerima pujian netizen.

Untuk rekod, Edy merupakan aktivis kebajikan yang giat menyalurkan bantuan kepada insan memerlukan di sekitar negeri Sabah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Aslam tak mampu poligami - Abby Abadi