suria

[V] “Dari rumah kami dah sedar” - Masak jam 4 pagi, peniaga reda sampai lokasi event sepi tak ada seorang pun pengunjung

Hanna tetap berniaga walau sudah tahu dia melakukan kesilapan.

DALAM dunia perniagaan adakalanya untung dan ada ketikanya kita terpaksa menanggung kerugian.

Risiko ini terpaksa diambil oleh peniaga terutama sekali jika apa yang dijual mereka adalah makanan yang jenis cepat rosak atau basi.

Pengalaman pahit ini turut dirasai Siti Hanna Nabilah, 27, dan suaminya Azham Shah Aziz Shah, 36, yang terpaksa menanggung kerugian apabila berlaku situasi tak diingini dalam urusan bisnes yang dirancang.

Bercerita kisahnya kepada mStar, Hanna menjelaskan ia berpunca daripada dirinya sendiri yang tersalah tengok tarikh satu acara yang diadakan di Muzium Telekom, Kuala Lumpur, di mana tapak jualan dibuka kepada para peniaga.

“Hari Jumaat lepas saya dan suami datang event tu untuk berniaga. Sebenarnya kami dah sedar salah tarikh dari rumah lagi. Daripada biar rugi, kami tetap datang dari Banting untuk berniaga dekat muzium tu.

“Hari tu kami dah siap bawa Laksa Penang, Laksa Johor, nasi lemak daun pisang, Pavlova, strudel buah, nugget dan karipap sardin untuk diniagakan.

“Untuk air pula saya bawa yang dah siap bancuh sebanyak enam botol. Biji kopi pun kami dah bawa 2kg sebagai persiapan,” ujarnya mengenai makanan yang dibawa untuk dijual.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga rugi besar 200kg adunan tauhu berderai selepas dikukus, bau masam amat dahsyat... pembekal boleh diam je!

ARTIKEL BERKAITAN: Dugaan sebulan berniaga, influencer kuyup selamatkan gerai... khemah baru beli musnah dibadai angin kencang

Menurut wanita ini yang sudah berniaga lebih dari satu tahun, segala persiapan dibuat sehari lebih awal iaitu pada Khamis kerana kebanyakan makanan perlu dimasak terlebih dahulu sedangkan acara itu dijadual berlangsung pada Sabtu dan Ahad.

Bercerita lanjut mengenai makanan yang tidak dapat dijual, Hanna berkata dia hanya memberikan percuma kepada individu yang lalu-lalang di kawasan itu.

“Saya dan suami memang selalunya akan siapkan bahan awal. Jadi pada hari kejadian kami memang bangun pukul 4 pagi untuk siapkan semua makanan.

Kiosk yang diusahakan Hanna dan suami di Sungai Lang, Banting, Selangor.

“Bila sedar salah tarikh kami pergi juga berniaga tapi memang kawasan tu kosong tak ada peniaga lain. Kami cuba juga menjual sebab barang dah siap untuk diniagakan.

“Ada juga beberapa pelanggan datang membeli tapi tetap tak dapat pulangan modal semula seperti banyak event yang kami berniaga sebelum ni. Jadi mana-mana yang tak habis jual tu kami sedekah saja pada orang awam,” katanya lagi sambil menambah perlu menanggung kerugian sekitar RM1,500.

Bagi saya ini semua asam garam dalam perniagaan. Saya jadikan semua yang terjadi ni sebagai pengajaran dan iktibar saja.

SITI HANNA NABILAH

Video yang dikongsikan Hanna mendapat perhatian warga maya yang turut bersimpati melihat rakaman tular itu.

Tegas Hanna, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak dan menggangap apa yang berlaku sebagai salah dirinya sendiri dan dia perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Kedai milik suaminya beroperasi pada Selasa hingga Jumaat.

Dalam pada itu, dia turut menitipkan pesanan kepada peniaga lain yang mengalami dugaan ketika mencari rezeki.

“Bagi saya ini semua asam garam dalam perniagaan. Saya jadikan semua yang terjadi ni sebagai pengajaran dan iktibar saja.

“Nasihat saya kepada peniaga lain, percayalah pada rezeki Allah. Setiap ujian yang mendatang pastinya ada sinar pelangi di kemudian hari,” jelas Hanna.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain