suria

Peniaga rugi besar 200kg adunan tauhu berderai selepas dikukus, bau masam amat dahsyat... pembekal boleh diam je!

Tauhu yang digunakan wanita ini untuk membuat tauhu berlauk telah rosak namun hanya disedari setelah adunan siap.

BERNIAGA makanan merupakan salah satu perniagaan yang boleh jadi sangat menguntungkan tetapi tinggi juga risikonya.

Apatah lagi jika peniaga terpaksa berdepan dengan kerugian besar jika makanan yang dijual mereka rosak.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri nekad berhenti kerja nurse dan buka bisnes, dah maju sikit terus beli X70 untuk suami nak tebus rasa bersalah sebab percayakan scammer

ARTIKEL BERKAITAN: Empat tahun tidur atas toto, baki gaji RM25 dan tauhu berlauk ubah nasib pasangan suami isteri ini

Itulah yang berlaku kepada Faizura Yusof Latip, 37, apabila tauhu yang digunakan untuk menyediakan tempahan pelanggan masam sebelum sempat dijual.

Menurut wanita yang mesra disapa Fyars ini, dia hanya menyedari bahawa tauhu yang dibeli untuk membuat tauhu berlauk yang ditempah pelanggan itu sudah rosak dan masam setelah proses adunannya hampir siap.



Fyars sudah lebih lima tahun berniaga tauhu berlauk.

"Saya akan beli tauhu dekat supplier waktu pagi macam biasa. Selepas balik beli tauhu memang saya terus masukkan dalam peti dulu.

"Bila nak buat bancuhan pertama adunan tu, saya pun keluarkan macam biasa tapi masa tu dah perasan warnanya nampak pelik sikit.

"Saya dah tanya dekat supplier, dia cakap tauhu baru sampai. Jadi saya pun percaya dan teruskan proses seperti selalu menggunakan tauhu tu," jelasnya yang sudah berniaga tauhu berlauk lebih dari lima tahun.

Bercerita lanjut, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata dia mula menyedari bahawa terdapat sedikit kelainan pada tekstur dan rasa tauhunya setelah ia siap dikukus.

Adunan tauhu lebih 200kg terpaksa dibuang kerana berbau masam.

Dia yang menetap di Bangi, Selangor menjelaskan, dia telah menghubungi pembekal tauhu yang dibelinya secara pukal ini semula untuk mendapatkan kepastian.

"Biasanya sebelum mula bancuh adunan memang saya akan rasa sikit, tapi mungkin masa tu tak dapat kesan rasa masam lagi sebab belum kukus. Adunan tu baru je saya siapkan dalam proses yang makan masa empat jam.

"Bila siap kukus saya tengok tekstur tauhu tu macam berlubang-lubang kecil. Bila saya keluarkan dari lompang (acuan digunakan untuk mengukus) tauhu tu semua berderai.

Jumlah kerugian tu semua nak tak nak saya terpaksa tanggung. Demi nak jaga customer dan ejen, saya ganti juga sebab mereka dah tempah dari minggu lepas lagi.

FYARS

"Saya terus ambil dan rasa tauhu yang dah siap dikukus tu walaupun masih panas lagi. Saya panik bila makan rasa masam yang dahsyat.

"Saya pun call balik supplier beritahu pasal tauhu tu. Rupanya tauhu tu mereka dah simpan empat hari sebab tu dah tak elok," ujar Fyars yang mendakwa terpaksa menanggung kerugian gara-gara pembekal berkenaan.

Fyars yang telah bersara dari syarikat penerbitan ini berkata dia terpaksa membuang hampir 200kg adunan yang telah dibuat disebabkan bahan asasnya iaitu tauhu telah rosak.

Jelasnya lagi, anggaran kerugian terpaksa ditanggung pada ketika itu adalah hampir RM5,000.

"Ni kali pertama jadi macam ni dekat saya sepanjang lima tahun saya berniaga tauhu berlauk. Saya sangat sedih masa terpaksa buang adunan tauhu tu. Proses nak siapkan tauhu dengan adunan banyak macam tu bukan senang dan sangat memenatkan. Saya tak berani nak jual. Biarlah rugi janji customer tak sakit perut.

Kebiasaannya adunan tauhu yang telah dikukus tidak berderai atau masam.

"Sebelum ni saya ambil dekat supplier lain tapi kebetulan kali ni stok dekat dia tak cukup masa tu. Saya lagi terkilan apabila supplier ni diamkan diri saja dan tak ada budi bicara nak ganti pun dengan tauhu baru.

"Jumlah kerugian tu semua nak tak nak saya terpaksa tanggung. Demi nak jaga customer dan ejen, saya ganti juga sebab mereka dah tempah dari minggu lepas lagi," jelas Fyars yang sudah mempunyai pelanggan setia yang membuat pesanan setiap minggu.

Bercerita lanjut mengenai video yang dimuatnaik di TikTok, wanita ini menerima banyak mesej yang mendoakan kebaikan buat dirinya.

Berkenaan tauhunya yang rosak, Fyars menganggap bahawa kejadian ini sebagai asam garam bagi mereka yang bergelar peniaga.

“Ramai yang kesiankan saya lepas tengok video tu. Saya rasa lega sikit bila mereka doakan saya supaya murah rezeki.



Fyars juga menjual sambal selain berniaga tauhu berlauk.

"Lagipun dari 2017 lagi saya dah berniaga. Macam-macam dah pahit dan manis dalam berniaga ni sejak produk pertama saya Sambal Tempotai (tempoyak petai resepi asli Negeri Sembilan).

"Selepas berjaya jual lebih 5,000 botol sampai sekarang, saya mula jual tauhu berlauk dan pelbagai jenis kek pula. Apa-apa pun saya anggap semua ni ujian Allah bagi dekat saya sebab nak bagi rezeki lebih besar," ujar Fyars menutupi ceritanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain