suria

Isteri nekad berhenti kerja nurse dan buka bisnes, dah maju sikit terus beli X70 untuk suami nak tebus rasa bersalah sebab percayakan scammer

Suhana tinggalkan kerjaya sebagai seorang nurse dan membuka bakeri.

SETIAP insan yang bergelar ibu bapa pasti sanggup berkorban apa saja demi masa depan lebih baik buat anak-anak mereka.

Begitulah kisah yang berlaku kepada Suhana Salam, 31, yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai seorang jururawat demi menguruskan anak-anak yang akan bersekolah pada ketika itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kru kabin sukarela berhenti kerja waktu pandemik, guna oven kecil je hasilkan 100 balang biskut sebelum jual sambal... kini rindu nak terbang semula

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah bergelar doktor pelatih... pemuda kongsi kisah perit selepas resign, 3 tahun mohon berpuluh kerja tapi pengawal keselamatan pun tak dapat!

Tanpa berfikir panjang, dalam masa 24 jam wanita yang mesra disapa Suhana ini mengambil keputusan meletakkan jawatan lalu meneruskan minatnya dalam dunia perniagaan secara sepenuh masa pada tahun 2019.

"Lima tahun bergelar jururawat dan kemudiannya berhenti pada akhir 2018. Ketika itu saya fikir anak sulung dah nak masuk sekolah, saya dan suami pula kerja syif, jadi waktu kerja tak menentu.

"Jadi saya fikir tak ada orang nak uruskan dan hantar pergi balik anak saya. Suami pula kerja di Singapura jadi tak boleh nak fokus pada anak. Sejak berhenti kerja saya fokus bisnes bakeri di rumah.

"Masa jadi nurse dulu, saya memang ada ambil tempahan makanan tapi secara sambilan saja. Setiap malam saya akan siapkan tempahan kawan-kawan di tempat kerja. Jadi, itu salah satu sebab kenapa saya buat keputusan nak buat bakeri secara full time bila berhenti kerja," ujarnya.



Wanita ini telah mulakan menceburi bidang perniagaan setelah berhenti kerja.

Jelas wanita yang menetap di Kulai, Johor ini, pelbagai jenis kek dan kuih muih yang dihasilkan adalah resipi ciptaannya sendiri.

Imbas Suhana yang juga ibu kepada dua anak perempuan ini, ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jualan makanan yang diusahakan turut terjejas sehingga terpaksa menggunakan wang simpanan mereka.

Masa PKP itu saya 'terduduk' juga bila tak ada jualan.

SUHANA

"Saya jual macam-macam tapi antara menu paling customer cari Tauhu Berlauk Sambal Kicap Johor dan Nutella Pod. Saya pakai sistem ejen jadi saya tak ada ambil order secara terus.

"Sehari sebelum saya akan kumpul order, jadi pada sebelah malam tu saya akan siapkan semua tempahan. Kalau sekitar Kulai sampai Pasir Gudang, kami buat delivery sendiri kalau ejen cuti. Setakat ni kami tak ada buat secara pos lagi.

"Masa PKP itu saya 'terduduk' juga bila tak ada jualan. Saya pula tengah sarat mengandung anak kedua. Kami terpaksa korek tabung untuk duit belanja. Saving lain pun tak ada. Nak tak nak, kena juga berniaga sebab duit simpanan dah habis," tambahnya.



Suhana berhenti kerja setelah lima tahun berkhidmat sebagai jururawat demi anak-anak.

Menurut Suhana lagi, perniagaan semakin pulih selepas PKP dan bertambah maju setelah mendapat sembilan ejen yang turut membantu dalam mempromosi jualan perniagaannya sehingga memperoleh pelbagai kejayaan.

Ujar wanita ini, dia tidak menyesal meninggalkan kerjayanya sebagai jururawat dan menumpukan perhatian penuh menguruskan rumah tangga kerana boleh melihat anak-anaknya membesar di depan mata.

Tambah wanita ini lagi dia juga telah menempah sebuah kereta Proton X70 kepada suaminya, Shahrom Mohd Colah, 39, yang kini turut membantu dalam perniagaan.

Bercerita lanjut mengenai pembelian kereta pada 2020 selepas bersalin anak kedua, Suhana turut berkongsi kisah yang menjadi kenangan pahit buat dirinya dan suami.

"Alhamdulillah jualan saya makin meningkat dan banyak saya dah capai sepanjang lebih kurang empat tahun saya buat bisnes bakeri. Ada sebab kenapa saya beli kereta baharu tu. Padahal saya ada je kereta yang saya guna sekarang tapi sebab saya rasa nak tebus balik rasa bersalah dengan suami.

"Dulu masa saya masih jadi jururawat, saya pernah kena scam. Saya terima satu panggilan yang menyatakan saya kena bayar sejumlah wang sebab ada barang yang saya kena terima. Saya pula jenis gelabah jadi saya bagi saja nombor kad pengenalan dan segala butiran dekat scammer.

"Saya berhutang lebih kurang RM7,000 ketika itu jadi kami terpaksa buat pinjaman untuk bayar semula hutang. Sebab kami tak ada saving jadi suami terpaksa jual kereta Honda Civic kesayangan demi nak melangsaikan hutang," jelasnya.

Bercerita lanjut mengenai perkongsian video TikTok, dia tidak menyangka ia akan menjadi tular sehingga menjadi inspirasi kepada orang lain.

Bagi Suhana sendiri, dia yakin bahawa keputusan berhenti menjadi seorang jururawat merupakan pilihan yang betul kerana kini dia lebih berjaya dan mampu membantu golongan yang juga mahu mencari rezeki bersama-sama.



Perniagaan wanita ini telah berkembang maju kini.

Kejayaan yang dimilikinya kini dalam dunia perniagaan makanan bukanlah kejayaan dia berseorangan dan dia berharap segala perkongsiannya di media sosial menjadi inspirasi kepada orang lain yang ingin berjaya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain