suria

Berhenti kerja, jual ‘kuih bakul tak bermusim’! Demi rasa asli, sanggup masak guna cara tradisi selama 18 jam

Farrah memulakan bisnes kuih bakul sejak 2018.

KUIH bakul atau Nian Gao yang merupakan kuih tradisional masyarakat Tionghua, kini tidak lagi dihasilkan secara bermusim atau semasa perayaan Tahun Baru Cina sahaja.

Menerusi perkongsian di media sosial baru-baru ini, kuih yang sinonim dengan pelbagai pantang larang itu boleh didapati pada bila-bila masa sahaja.

Mereka yang mengidam atau teringin untuk menikmatinya boleh menghubungi usahawan muda, Nur Farrah Diba Azhar yang merupakan penjual dan pembuat kuih ini secara tradisional.

Lebih memudahkan, makanan istimewa itu boleh dihantar melalui kurier dan tidak terhad kepada mereka yang tinggal di sekitar Bandar Perda, Bukit Mertajam di Pulau Pinang sahaja, lokasi di mana usahawan ini tinggal.

Ketika dihubungi mStar, wanita berusia 32 tahun itu memberitahu, perniagaan kuih bakul bermula pada 2018 dan ia dihasilkan serentak bersama kuih bulan.

"Kalau empat tahun lepas, ia dibuat secara bermusim... tiga bulan sekali. Pada tahun ini iaitu selepas sambutan Hari Raya Aidiladha, saya mula menghasilkannya setiap hari.

"Namun kuantitinya dihadkan iaitu 100 biji setiap hari. Sesiapa sahaja yang berminat boleh mendapatkannya kerana kuih bakul ini boleh dipos," ujarnya yang berketurunan Cina.

ARTIKEL BERKAITAN: Padu nasi lemak wrap roti canai! Peniaga dah ada ‘plan’ jika permintaan mencanak, tak pernah lupa nasihat tauke Cina dalam berniaga

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan tak berhati perut ‘sidai’ peniaga kuih bakar tepi jalan! Mesej dibiar ‘blue tick’ masih bersangka baik

Mesra disapa Farrah, dia mengakui proses pembuatan kuih tradisi itu sangat rumit serta tidak boleh lalai bagi mengelakkan ia rosak atau 'hilang'.

Malah katanya, tempoh masa 18 jam diperuntukkan untuk menyiapkan kuih bakul kerana ia dihasilkan secara tradisional.

"Proses pengeringan pula mengambil masa kira-kira tujuh hari dan selepas betul-betul kering, barulah ia boleh dipos kepada pelanggan di seluruh negara.

Kuih bulan dan kuih bakul dihasilkan secara tradisional.

Kuih bulan dan kuih bakul dihasilkan secara tradisional.

"Bagi memastikan mutu dan mengekalkan aroma asli kuih bakul, saya gunakan bahan dan kaedah tradisional seperti dibalut dengan daun pisang," ujar anak sulung daripada lima beradik ini.

Menceritakan permulaan dia terlibat dengan bisnes pembuatan kuih bakul, ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini, meskipun dia berketurunan Cina dan ibunya adalah mualaf, namun proses penghasilan dipelajari daripada jiran sebelah rumahnya.

"Resepi bukan daripada mak tetapi daripada jiran sebelah. Saya memang suka makan, dulu akan pergi ke rumah jiran sebab nak dapatkan kuih bakul ni sampailah belajar sendiri cara nak buat.

"Bila dah pandai buat untuk makan sendiri, saya terfikir untuk buka pesanan dan tak jangka akan dapat banyak permintaan. Jadi bermula dari situlah saya berbisnes," katanya yang pernah bekerja sebagai kakitangan kerajaan negeri.

Pakcik saya yang banyak beri tunjuk ajar dan bantu semasa mula-mula nak buat bisnes kuih bakul ni.

FARRAH DIBA

Mempunyai pekerjaan yang stabil tidak menghalang Farrah untuk meneruskan minatnya dalam perniagaan.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah menjual kuih kapit malah disebabkan ingin mengejar impian sebagai usahawan, dia sanggup meninggal kerjayanya.

Farrah bersama suami dan anaknya.

Farrah bersama suami dan anaknya.

"Saya berhenti kerja dan ambil inisiatif untuk buat bisnes. Semasa mula-mula berhenti kerja tu, saya sepenuhnya buat kuih kapit tapi ia tidak dapat diteruskan sebab kekurangan tenaga kerja.

"Selepas itu barulah buat kuih bakul dan kuih bulan. Memang rasa seronok sangat bila ia mula berkembang... daripada buat di rumah sehinggalah berjaya ada kedai sendiri dan pekerja-pekerja yang membantu," imbaunya gembira.

Lebih mengujakan apabila, kaum Cina juga hadir memberi sokongan dan membeli kuih bakul serta kuih bulan yang dihasilkannya.

Bercerita lanjut, ujar Farrah, permintaan yang tinggi dan maklum balas yang baik membuatkan dia tidak berasa kesal dengan keputusan nekadnya untuk berhenti kerja sebelum ini.

Mengakui keputusannya dihalang 100 peratus oleh keluarga dan suami, dia tetap yakin dengan pilihan yang diambil.

Tambahan pula, Farrah mendapat sokongan daripada pakciknya yang merupakan ahli perniagaan.

"Pakcik saya yang banyak beri tunjuk ajar dan bantu semasa mula-mula nak buat bisnes kuih bakul ni.

Ibu Farrah merupakan mualaf berketurunan Cina.

Ibu Farrah merupakan mualaf berketurunan Cina.

"Bermula aspek pengurusan kewangan sehinggalah tadbir urus... sokongan yang diberikan itu membuatkan saya berani serta yakin untuk berniaga.

"Alhamdulillah selepas beberapa ketika, keluarga nampak kemajuan saya dan mereka mula memberi sokongan.

"Maklumlah, kesemua mereka bekerja dalam sektor awam, pastinya bimbang jika saya mengambil 'haluan kiri'," katanya yang sering menekankan bahawa produknya adalah produk muslim 100 peratus.

Terdahulu, video perkongsiannya menjadi tular di TikTok sehingga mendapat tontonan lebih 290,000 pelayar.

Rata-ratanya berkongsi tentang rasa dan cara hidangan kuih bakul yang enak dimakan selepas digoreng bersama ubi keledek.

"Kepit dengan ubi keledek celup tepung dan goreng... sedap!

"Lamanya tak makan. Susah nak cari.

"Sedap goreng dengan telur.

"Sedap kalau goreng kepit ubi keledek... rindu," luah beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain