suria

Pemuda minta doktor potong kaki selepas kemalangan, selepas 2 minggu baru sedar hakikat hidup tak lagi sempurna

Kaki kiri Mamat cedera parah dan terpaksa dipotong.

ANGKARA kecuaian pihak lain, pemuda ini terpaksa menanggung penderitaan seumur hidupnya.

Jika sebelum ini dia lincah bergerak mencari rezeki apatah lagi menjadi anak lelaki tunggal dalam keluarga, namun insiden yang berlaku pada pagi 6 Jun lalu ibarat merentap seluruh kehidupannya.

Pemuda bernama Muhammad Arif Akmal Mohamad Nazran kini terpaksa menerima hakikat kehilangan kaki kiri selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di satu persimpangan berhampiran Bukit Beruntung, Selangor.

MAMAT 3

Mamat cedera parah terutama pada bahagain kaki kiri selepas motosikalnya dirempuh dua buah kereta.

Mengimbas kembali detik hitam tersebut, pemuda yang senang disapa Mamat ini berkata, dia ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertemu rakan di Kelab Golf Bukit Beruntung.

"Saya bersama seorang lagi rakan menunggang motosikal berasingan. Ketika itu sekitar pukul 11 pagi dan hujan renyai. Tiba di simpang tiga, sebuah kereta di simpang kiri nak belok ke kanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekelip mata jadi OKU, pemuda tak keluar bilik 2 tahun akibat kemurungan sebelum bangkit demi ibu... kini dah kerja bank, ada isteri!

ARTIKEL BERKAITAN: Toleh belakang, lori datang laju! Mangsa rempuhan imbas saat ‘melayang’ tepi jalan, nampak 2 penunggang motor maut

"Kereta tu tak berhenti di simpang, terus belok saja. Akibatnya motosikal saya dilanggar. Saya hilang kawalan dan termasuk ke laluan bertentangan, dan kemudian dilanggar lagi oleh sebuah kereta lain.

"Masa tu saya dah tak sedar, tak tahu apa jadi. Sedar-sedar saja saya dah ada dekat hospital," ujar pemuda berusia 20 tahun ini.

Menurut Mamat, akibat kemalangan tersebut, dia mengalami kecederaan parah pada kaki kiri, patah enam tulang rusuk di sebelah kiri dan luka-luka pada anggota badan.

MAMAT 1

Keadaan kaki kiri Mamat yang berubah menjadi hitam dan tidak dapat diselamatkan.

"Tulang jari kaki belah kiri semua hancur, saraf dan urat di bahagian tapak kaki juga hancur. Malam itu juga doktor operate untuk sambung saraf.

"Bagaimanapun beberapa hari kemudian, bahagian bawah buku lali dan ke bawah bertukar warna hitam. Doktor nak tengok setakat mana boleh diselamatkan.

"Tapi hari ketujuh selepas kemalangan, saya sendiri cakap, minta doktor potong kaki sebab tak tahan sakit. Akhirnya awal pagi saya jalani pembedahan di mana kaki kiri dipotong daripada betis ke bawah.

"Memang berat apabila saya sendiri yang minta nak potong, tapi sebab tak tahan sakit sangat dah lagipun kaki tak dapat diselamatkan," katanya yang dirawat di Hospital Selayang.

Kita mungkin diuji dengan kehilangan anggota badan, namun pastinya Allah gantikan dengan 1,000 rezeki lain.

MAMAT

Hampir dua minggu selepas tragedi itu berlalu, Mamat berkata dia kini beransur-ansur dapat menerima hakikat dan cuba menyesuaikan diri dengan hanya memiliki sebelah kaki.

"Saya masih tak boleh banyak bergerak. Sekarang ini masih lagi terlantar di hospital. Doktor belum beritahu bila saya boleh discaj.

"Tipulah kalau tak down. Pernah juga saya bertanya kepada diri, kenapa Allah uji sebegini lebih-lebih lagi saya masih muda. Tapi ibu yang akan tenangkan. Saya tahu ibu sedih tapi dia tak tunjuk.

"Sepanjang saya di sini, ibu yang teman di samping keluarga serta rakan-rakan yang tak henti-henti ziarah. Alhamdulillah rakan-rakan tetap ada di sisi.

"Ada juga TikTokers yang datang ziarah selepas baca DM saya. Mereka beri kata-kata positif dan semua ini secara tak langsung kuatkan kembali semangat saya," ujar anak keempat daripada lima adik beradik ini.

Bekerja sebagai salah seorang kakitangan di sebuah syarikat kontraktor air, Mamat bersyukur kerana dikurniakan majikan yang prihatin.

MAMAT 2

Selain rakan-rakan, Mamat turut menerima kunjungan selebriti media sosial yang memberikan kata-kata semangat kepadanya.

"Majikan kata mereka akan tempatkan saya dalam bidang yang bersesuaian dengan keadaan diri saya apabila dah boleh masuk kerja semula nanti.

"Perancangan saya selepas keluar hospital nanti, saya nak fokus kepada pemulihan dan urusan tuntutan insurans kemalangan.

"Saya juga perlu biasakan diri dan mahu banyakkan bergaul dengan komuniti yang senasib untuk sama-sama beri sokongan antara satu sama lain.

"Perancangan jangka panjang, saya mahu libatkan diri dalam bisnes kecil-kecilan," katanya.

Pemuda ini turut menitipkan kata-kata nasihat buat individu yang senasib dengannya agar terus bangkit mengejar impian meskipun serba kekurangan.

"Kita mungkin diuji dengan kehilangan anggota badan, namun pastinya Allah gantikan dengan 1,000 rezeki lain. Kena tengok dari sudut positif, baru kita nampak hikmahnya.

"Benda ini bukan penghalang, tapi permulaan hidup kita. Usah risau dengan pandangan orang. Kalau ada orang hina atau kutuk fizikal kita, tinggalkan saja kerana kita tak perlukan orang yang toksik," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain