suria

Mimpi arwah ibu, nampak senyum... Isteri tak sangka suami bagi ‘petanda’ ajal makin dekat, reda ujian Allah

Kenangan... Ezzatul (kanan) bersama arwah suami (kiri) dan arwah mak pada majlis perkahwinannya lima tahun lalu.

UJIAN datang bertimpa-timpa, begitulah dugaan yang dilalui oleh seorang wanita apabila kehilangan dua orang tersayang dalam tempoh singkat.

Selepas pemergian ibu tersayang pada Februari, wanita ini kehilangan suami tercinta pula, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: "Ego saya kuat dulu" - Wanita kumpul kekuatan hilang 3 insan tersayang berturut-turut, paling pedih setiap pemergian ada kaitan hari istimewa

ARTIKEL BERKAITAN: "Mak balik jadi jenazah" - Lega permintaan ibu sempat ditunaikan tapi sambutan hari lahir hambar, kejutan tak kesampaian... Covid-19 ragut semuanya!

Berkongsi cerita kepada mStar, wanita itu, Ezzatul Fatieyah Borhan berkata, ibunya meninggal dunia di usia 75 tahun pada 20 Februari lalu akibat Covid-19.

Lebih mesra disapa Ezzatul, katanya, ibunya yang terlantar di katil di rumah di Batu Pahat, Johor akibat sakit tua pada mulanya mengalami demam panas sebelum terkena jangkitan kuman.

"Apabila nak dimasukkan ke hospital kena buat ujian PCR dulu dan mak disahkan positif Covid-19. Keadaan paru-paru mak teruk dan dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi).

"Kadar oksigen menurun, selepas tu kembali naik. Ingatkan dah okay, tapi Tuhan lebih sayangkan mak... mak menghembuskan nafas terakhir selepas empat hari di hospital," katanya ketika dihubungi.

mak suami meninggal 6

Keluarga Ezzatul bersama arwah mak (tengah) yang terlantar di katil kerana sakit tua.

Ujian terus menimpa wanita berusia 31 tahun itu apabila suaminya pula dimasukkan ke ICU di Pontian, Johor kerana serangan strok pada 1 Ramadan lalu.

"Suami ditidurkan selama seminggu. Apabila doktor sedarkan suami, dia bercakap tercungap-cungap sebab tak cukup oksigen, paru-paru penuh air dan tak cukup nafas.

"Keadaan suami kritikal dan ditempatkan ICU selama sebulan. Seminggu sebelum suami pergi, dia dipindahkan ke wad biasa.

"Kita mungkin nampak dia makin okay sebab dipindahkan ke wad biasa. Tapi keadaan masih lemah. Suami meninggal dunia ketika usia 34 tahun pada 21 Mei, tiga bulan selepas mak pergi," ujarnya yang berasal dari Batu Pahat.

mak suami meninggal 4

Ezzatul (kanan) bersama arwah mak.

Menurut anak bongsu daripada 12 beradik itu, dia masih terkenangkan perbualan terakhir suaminya pada hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa sebelum rebah.

"Masa tu saya di Johor Bahru, suami di rumah keluarganya di Pontian. Kami buat video call kira-kira pukul 6.30 petang sebelum waktu berbuka puasa. Tiba-tiba line terputus.

"Kira-kira 10 minit kemudian saya dapat call daripada biras mengatakan suami pengsan. Antara perbualan kami adalah suami sepatutnya jadi imam untuk solat tarawih seperti tahun-tahun sebelumnya, tapi dia mengadu keadaannya tak berapa sihat," katanya.

mak suami meninggal 5

Hasil perkahwinan lima tahun Ezzatul dan arwah suami dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Mengulas lanjut, guru Bahasa Arab itu memberitahu arwah ibu, Allahyarham Zaharah Nahu dan suami, Allahyarham Shazrin Zekri Ab Razak seperti memberi petunjuk sebelum pemergian masing-masing.

"Karakter mak sangat penyayang dan begitu ambil berat tentang anak-anak. Hari-hari terakhir sebelum mak meninggal, mak kerap minta maaf pada anak-anak.

Dalam mimpi tu, suami nampak wajah arwah mak yang memandangnya dalam keadaan tersenyum.

EZZATUL

"Kami anak-anak pun minta maaf. Tapi kami pelik, kenapa mak minta maaf sedangkan anak-anak patut minta maaf," katanya sambil menambah ibunya merupakan ibu tunggal selama 20 tahun.

Sementara itu, Ezzatul yang mendirikan rumah tangga selama lima tahun menyifatkan arwah suaminya seorang yang suka membantu orang lain selain penyayang terhadap dia dan seorang anak perempuan mereka berusia lima tahun.

mak suami meninggal 1

Ezzatul (kiri), arwah suami (kanan) dan anak perempuan (dua, kiri) bersama arwah mak.

"Suami kata penyakit dia dah lama. Selalu dia cakap yang dia akan pergi dulu daripada saya. Malah dia pernah bermimpikan mak saya sendiri selepas pemergian mak.

"Dalam mimpi tu, suami nampak wajah arwah mak yang memandangnya dalam keadaan tersenyum. Perkara itu bermain dalam fikiran saya, adakah ia petanda?

"Tak sangka suami pergi selepas mak, memang sedih tapi saya reda. Setiap hari saya mendoakan arwah mak dan arwah suami," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain