suria

“Mak balik jadi jenazah” – Lega permintaan ibu sempat ditunaikan tapi sambutan hari lahir hambar, kejutan tak kesampaian... Covid-19 ragut semuanya!

Foto kanan Kamal (kanan) dan arwah ibu, kiri urusan pengebumian ibu. Gambar kecil majlis hari jadi ibu tanpa ibu di sisi.

TIGA tahun lalu, seorang pemuda sanggup meninggalkan kerjaya dan melupakan impiannya di Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung demi menjaga ibu bapa yang uzur.

Menjaga kedua-dua orang tua secara bergilir-gilir di Felda Adela di Kota Tinggi, Johor, bapanya kemudian meninggal dunia akibat strok pada Mac tahun lalu.

mStar pada Ogos lalu berkongsi kisah ketabahan pemuda ini menjaga ibu yang memerlukan penjagaan rapi dan rawatan susulan pembedahan akibat penyakit kencing manis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini korbankan kerja dan impian demi jaga ibu sakit di kampung, tapi bapa pergi dulu selepas buat 3 permintaan - "Terakhir ayah minta tidur sebelah mak"

Begitu berat dugaan buat lelaki berusia 31 tahun itu apabila sekali lagi diuji dengan berita ibunya dijemput Ilahi akibat kompikasi Covid-19, pada 1 November lalu.

Apa yang lebih menyedihkan bagi Mohd Kamal Mohamad Saad apabila tiga hari sebelum itu iaitu 28 Oktober merupakan hari lahir ibunya ke-69.

"Mak lahir pada 28 Oktober. Tapi kami adik-beradik rancang nak sambut birthday mak pada 30 Oktober sebab semua adik-beradik balik, termasuk abang sulung yang berusia 46 tahun dan bertugas sebagai askar selama 12 tahun pulang dari Australia.

"Ingatkan nak surprise mak dengan kepulangan abang tapi tak kesampaian sebab mak dimasukkan ke hospital sebab ada komplikasi pada 29 Oktober," katanya kepada mStar.

tiada lagi jaga mak 3

Kamal (kiri) sebelum ini pulang ke kampung untuk menjaga ibu bapanya.

Kamal yang merupakan anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu turut berkongsi tentang beberapa permintaan ibunya pada hari berkenaan.

"Pada tanggal 29 tu mak nak makan kek, saya bawa mak pergi tepi laut makan. Lepas tu kami jalan-jalan sekitar Felda. Mak sangat manja petang tu.

"Bila balik ke rumah, mak minta saya mandikan dia. Selalunya mak mandi sendiri, tapi hari tu mak minta saya mandikan. Lepas dah mandi dan beri makan malam, masa tu mak semakin lemah sebelum dibawa ke klinik dan seterusnya dimasukkan ke hospital," ujarnya sambil menambah ibunya memerlukan bantuan pernafasan kerana paras oksigen menurun.

tiada lagi jaga mak 4

Kamal (kiri) begitu rapat dengan ibu.

Bagaimanapun kata Kamal, majlis ulang tahun ibunya tetap diteruskan tanpa kehadiran ibunya yang masih dirawat di hospital.

"Mak masih bermalam di hospital, mak kata teruskan majlis sebab semua dah tempah. Ramai kawan bagi kek dan makanan. Nanti mak balik.

"Tak sangka mak balik jadi jenazah. Esoknya 1 Disember, saya dapat call daripada doktor beritahu mak tak dapat diselamatkan, jantungnya terhenti," katanya dengan nada sebak.

tiada lagi jaga mak 2

Membawa ibu menikmati makanan di tepi laut.

Kamal yang mengusahakan bisnes kek secara kecil-kecilan mengakui hilang arah dan sedih selama beberapa hari, dengan ibunya meninggal dunia pada hari kedua dia perlu menjalani kuarantin di rumah selepas menjadi kontak rapat dan turut disahkan positif Covid-19.

"Permintaan mak semuanya saya dapat tunaikan. Mak nak makan, keluar, jalan-jalan, nak beli itu ini semua dapat.

Sesiapa yang masih ada mak ayah, selagi boleh balik, baliklah. Kalau sibuk dengan kekangan kerja, telefon. Kalau tak video call, call selagi boleh dengar suara mereka. Nanti bila dah tak ada mak ayah, kita akan rindu

MOHD KAMAL MOHAMAD SAAD

"Cuma saya terkilan mak tak dapat sambut hari jadi, nak tengok anak-anak dia semua. Paling terkilan bila anak mak yang sulung bertugas kat luar negara nak balik tapi tak dapat tengok mak, sedangkan hari itulah hadiah saya untuk mak," katanya yang menyifatkan ibunya seorang yang tegas dan lantang bersuara tetapi penyayang.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana berpeluang untuk menjaga ibu bapanya yang uzur dengan baik sehingga kedua-duanya menghembuskan nafas terakhir.

tiada lagi jaga mak 5

Arwah ibu Kamal seorang penyayang.

Kamal sebelum ini meninggalkan kerjaya dalam bidang khidmat pelanggan dan kerja separuh masa sebagai pengacara majlis (emcee), selain menjalankan bisnes kek di Lembah Klang. Dia juga melupakan impiannya untuk menjadi pembaca berita, di mana ketika itu uji bakat di peringkat akhir.

"Nasihat saya kepada sesiapa yang masih ada mak ayah, selagi boleh balik, baliklah. Kalau sibuk dengan kekangan kerja, telefon. Kalau tak video call, call selagi boleh dengar suara mereka.

"Nanti bila dah tak ada mak ayah, kita akan rindu. Bila balik, rakam seberapa banyak video dengan mereka. Tak kisah orang nak cakap apa sebab itu koleksi peribadi kita.

"Saya teringat mak selalu datang ke dapur tengok saya buat kek, mak akan tanya 'Mal (panggilan nama Kamal) berapa biji kek lagi Mal nak buat?'," ujarnya dengan suara yang tersekat-sekat menahan tangisan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain