suria

Tragedi kepala air: 7 hari berlalu, pasukan penyelamat akhirnya jumpa mayat mangsa kedua

Dengan penemuan mangsa itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 1 petang ini.

MENYAYAT hati.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai tragedi kepala air yang berlaku di di Gunung Suku, Simpang Pulai, Ipoh pada minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak nangis tapi saya tahan” - Dua sahabat rela berlapar, menggigil bermalam tepi sungai... tak ‘redah’ kepala air walau tahu berenang

Dalam perkembangan terbaharu, mayat mangsa kedua yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di gunung itu berjaya ditemui pada hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat, pada Sabtu.

Mangsa ditemui sekitar jam 11.20 pagi di bawah timbunan di lokasi pencarian sektor C iaitu berhampiran kawasan terowong.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, mayat wanita itu ditemui dalam keadaan sempurna, hanya mengalami kecederaan di badan dan kepala.

"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa telah dijalankan di lokasi berkenaan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut beliau, operasi pencarian yang diteruskan pada jam 9 pagi itu melibatkan kekuatan 43 anggota penyelamat pelbagai agensi.

"Selepas lebih dua jam operasi dimulakan, Unit Anjing Pengesan (K9) telah mengesahkan menjumpai mangsa terbabit," katanya.

Beliau berkata, dengan penemuan mangsa itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 1 petang ini.

"Mangsa pertama berjaya ditemui pada Isnin lalu," katanya.

Pasukan mencari dan menyelamat pada Isnin menemui anggota tubuh manusia dipercayai seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air di bawah timbunan kayu pada jam 10.20 pagi.

Turut ditemui beberapa cebisan pakaian dipercayai milik kedua-dua mangsa di sekitar lokasi kejadian.

Kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32 dan Ng Yee Chew, 46, yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian pada 5 pagi, Ahad lepas. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain